comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas ratu cantik sertai Borneo Ultra Trail Marathon

Bekas ratu cantik, Jo-anna Sue Henley Rampas ketika menyertai Borneo Ultra Trail Marathon (BUTM) 2024 di tanah kelahirannya di Kiulu. FOTO: Ihsan Tsen Shin Yon

TUARAN: Bekas ratu cantik Unduk Ngadau atau Pesta Kaamatan, Jo-anna Sue Henley Rampas menyifatkan penyertaannya dalam Borneo Ultra Trail Marathon (BUTM) 2024 di tanah kelahirannya di Kiulu umpama menyusuri kenangan lalu.

Jo-anna, 34, dan pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya di kawasan itu berkata sebagai penduduk asal Kiula penyertaan itu memberikannya peluang untuk melonjakkan nama dan warisan Kiulu.

“Saya dan suami saya amat menantikan perlumbaan ini. Akhirnya, jadual padat saya dapat diselaraskan bagi saya menyertai perlumbaan BUTM sejauh 32 kilometer (km),” katanya.

Jo-anna mengakui BUTM adalah satu penghargaan kepada Kiulu.

Ia membantu mengetengahkan faktor semulajadi, kebudayaan serta mengukuhkan ikatan masyarakat yang membentuk Kiulu.

Katanya, dia gembira melihat penduduk Kiulu memberi sorakan kepadanya ketika dia melintasi rumah mereka.

Pada masa sama, Jo-anna juga mengakui gembira dapat bertemu beberapa peserta yang menjadikan perlumbaan itu menyeronokkan.

Jo-anna menghabiskan perlumbaan itu pada jam 2.55 petang semalam selepas berlari selama 7 jam 55 minit.

Ibu kepada seorang anak itu berkata laluan Sungai Kiulu, Mongkonihad dan Namadan adalah sesuatu yang dia jangka kerana terletak berhampiran rumahnya di Kiulu di mana dia pernah berdayung dan bermain ketika dia di zaman kanak-kanak.

Menurut Jo-anna, hanya Kitapol merupakan laluan baru tetapi dia masih mampu menawannya.

Perlumbaan berlangsung dua hari berakhir hari ini dan turut disertai 205 peserta membabitkan kategori 100 km; 290 peserta untuk kategori 50 km; 205 peserta untuk kategori 30 km dan 256 peserta untuk kategori 9 km.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini