comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas wartawan, James Ritchie dinobat penerima Anugerah HAWANA 2024

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah HAWANA 2024 kepada James Ritchie (depan, kiri) ketika majlis Kemuncak HAWANA 2024.- Foto: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUCHING: Bekas wartawan akhbar New Straits Times, James Alexander Ritchie, atau lebih dikenali sebagai James Ritchie, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 pada majlis kemuncak HAWANA yang berlangsung di sini, petang semalam.

Berusia hampir 74 tahun, James Ritchie memulakan kariernya pada tahun 1970an sebagai wartawan meja jenayah di New Straits Times di Kuala Lumpur.

Walaupun dilahirkan di Pulau Pinang, James Ritchie telah menjadikan Bumi Kenyalang sebagai tempat beliau bermastautin sejak keluarganya berpindah ke negeri itu pada tahun 1960-an selepas bapanya, Datuk Seri John Ritchie menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Selepas berkhidmat kira-kira sedekad di Kuala Lumpur, majikannya memutuskan untuk menjadikan beliau sebagai wakil mereka yang pertama di Sarawak pada tahun 1980-an sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjayanya yang telah membawa James Ritchie menjelajah ke seluruh pelusuk Bumi Kenyalang.

Pengalaman hampir 50 tahun sebagai wartawan banyak mengajar beliau bukan sahaja mengenai profesion itu malah tentang kehidupan secara keseluruhan dan pelbagai kejayaan yang dikecapi bukan diraih dengan mudah tanpa perlu meredah onak serta duri.

“Ada ketika anda dipuji dan ada masanya anda dimarahi. Pada akhirnya, anda terpaksa jua melakukan tugasan yang diamanahkan dan kadangkala anda terpaksa menyakiti seseorang tanpa sengaja. Anda sekadar menjalankan tugas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ketika melakukan tugasan, James Ritchie mengakui kesilapan boleh berlaku dan tiada wartawan yang terlepas namun mereka harus terus menimba ilmu.

“Apabila anda melakukan kesilapan, anda harus belajar daripada kesilapan itu. Beritahu diri bahawa saya akan melakukan tugasan dengan lebih baik. Lain kali saya akan lebih bersedia,” katanya.

Bertugas sebagai wartawan telah memberi beliau peluang bergaul dengan nama-nama besar mencorak hala tuju media Malaysia.

Mereka termasuk Datuk Mohd Nor Khalid yang pernah bertugas dengan Berita Harian dan akhirnya muncul sebagai kartunis terkemuka dikenali sebagai Lat serta Najib Abdul Rahman, anak lelaki Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara ketiga yang dibunuh pada 1974.

Bagi liputan kes-kes berprofil tinggi, artikel yang ditulis oleh James Ritchie merangkumi kisah pencerobohan Tentera Merah Jepun ke atas Kedutaan Amerika di Bangunan AIA di Kuala Lumpur, penahanan ‘Pakar Penyamaran’ Lai See Kiaw dan keganasan yang dicetuskan oleh Wong Swee Chin, atau lebih dikenali sebagai Botak Chin.

Beliau turut menjadi saksi detik-detik politik Sarawak dilanda krisis pada 1987 apabila kepimpinan Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, telah dicabar oleh sekumpulan ahli politik yang menentangnya.

Namun Abdul Taib telah mengambil langkah yang licik untuk mengadakan pilihan raya mengejut pada tahun sama untuk menumpaskan kumpulan itu dan situasi tersebut telah memberi inspirasi kepada James Ritchie bagi menghasilkan buku pertamanya bertajuk Abdul Taib – A Gentleman’s Victory.

Pencapaian pada usia 37 tahun itu rupa-rupanya menjadi satu ketagihan buat James Ritchie apabila beliau terus menulis dan menghasilkan 43 karya lagi termasuk mengenai seorang pakar alam sekitar dari Switzerland iaitu Bruno Manser yang tinggal bersama Kaum Penan di Sarawak yang diterbitkan pada 1994.

Pengalaman selama berdekad-dekad dan kemahiran menulis berjuta-juta patah perkataan sepanjang kerjaya sebagai wartawan banyak menyumbang kepada kebolehan beliau untuk menghasilkan buku dalam jumlah yang hampir sama dengan bilangan tahun perkhidmatannya sebagai pengamal media.

“Saya melancarkan buku ke-45 saya pada 21 Mei lepas,” katanya.

Mengulas tentang anugerah yang diterimanya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, James Ritchie berkata ia adalah sesuatu yang amat bermakna bagi dirinya.

“Apa yang boleh saya katakan ialah saya amat bersyukur kerana dipilih untuk menerima anugerah ini. Ia sememangnya amat bermakna,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini