Tumpuan :
Nasional

Bekerja 3 hari seminggu jadi halangan guru KAFA kontrak ke perjawatan tetap

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang masih berkhidmat secara kontrak dikenal pasti tidak memenuhi syarat tiga hari bekerja, menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak layak diserap ke perjawatan tetap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kegagalan memenuhi syarat tersebut akan menyukarkan pengurusan dan kelolaan pihaknya.

“Untuk serap guru KAFA (kontrak ke perjawatan tetap), setakat ini keperluan yang diperlukan iaitu tiga hari bekerja tidak memenuhi hasrat terbabit.

“Jadi oleh kerana syarat itu tidak dipenuhi, di situ ada kesulitan dalam konteks untuk menyerap guru-guru KAFA ini kepada gred yang tetap. Itu yang jadi isu sebenarnya,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang menzahirkan kebimbangan terhadap nasib guru KAFA kerana tanggungjawab dimainkan golongan itu tidak berbeza dengan guru sekolah harian biasa.

Sementara itu, Beliau juga memberi jaminan bahawa kebajikan guru KAFA akan terus diberi perhatian, termasuk usaha untuk meningkatkan elaun mereka melalui perbincangan yang bertujuan memastikan hak guru-guru tersebut terjamin.

Menjawab soalan asal dikemukakan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai tambahan kuota guru KAFA, Mohd Na’im berkata, setakat ini terdapat 35,000 orang, meningkat daripada 33,200 orang selepas kerajaan Persekutuan meluluskan sebanyak 1,800 lagi kuota guru pada 2020.

Katanya, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku agensi bertanggungjawab terhadap pelaksanaan KAFA sentiasa meneliti dan melakukan perancangan terhadap pertambahan guru KAFA.

“Pihak berkuasa agama negeri juga mengambil langkah yang proaktif untuk melantik guru KAFA baharu bagi mengisi kekosongan.

“JAKIM sentiasa mengemaskini dan membuat unjuran terhadap keperluan pertambahan perjawatan guru KAFA supaya seimbang antara nisbah bilangan guru dan premis KAFA,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini