comscore
Tumpuan :
Nasional

Belajar darjah 6 pun mengadu, ijazah pun mengadu – Calon PN

Oleh: Selwam Arjunan

SUNGAI BAKAP: Calon Perikatan Nasional (PN) menepis persoalan berhubung kelayakan akademiknya yang dimainkan pihak lawan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Katanya, beliau tidak terkesan dengan perbandingan yang dilakukan pihak tertentu dengan calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin.

Menurut Abidin, kelayakan akademik bukan suatu isu penting yang perlu dipertikaikan ketika menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sebaliknya, kata beliau, penerimaan serta sokongan masyarakat perlu diutamakan dalam tempoh berkempen ketika ini.

“Tak apa, itu masing-masing ada kelebihan masing-masing.

“Kalau saya (belajar setakat) darjah enam pun orang complain, saya diploma pun orang akan complain.

“Jadi bagi saya, itu bukan isu. Yang penting, kita mendampingi masyarakat dan diterima mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Bilik Operasi PN di Kampung Besar, di sini, petang tadi.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai pertikaian banyak pihak berikutan tahap kelulusan akademiknya tidak dinyatakan dalam risalah maklumat calon.

Ia sekaligus mendorong kepada perbandingan dilakukan dengan Dr Joohari, 60, yang memiliki kelayakan Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata kelayakan akademik tidak wajar dijadikan pengukur kelayakan bagi menjadikan seseorang sebagai pemimpin politik cemerlang pada masa depan.

Katanya, ramai pemimpin politik di negara ini yang tidak mempunyai kelayakan akademik tinggi, namun mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sebaliknya, Menteri Besar Kedah itu mendakwa ramai pemimpin yang memiliki kelayakan akademik tinggi gagal dalam karier politik mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini