comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Belanjawan 2023 dijangka ambil tindakan radikal, tingkat daya saing negara

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini akan mendepani beberapa masalah yang dihadapi dengan berani dalam usaha meningkatkan daya saing dan kemampuan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini berikutan negara ketinggalan dalam banyak segi berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hampir setiap hari beliau dan kumpulan di Kementerian Kewangan (MoF) akan membincangkan perkara berkenaan seperti soal daya saing, kecepatan, kepesatan kelulusan perniagaan, digitalisasi serta memastikan keluaran sumber asli melalui proses hiliran.

“Saya beritahu pada pasukan (MoF) untuk terangkan keadaan, jangan selindung dan beri kenyataan yang samar. Kalau ada masalah hutang, jelaskan masalah itu dan kita harus hadapi bersama keperitan ini.

“Kemudian kita beritahu beberapa tindakan yang mahu dicadangkan atau diusulkan yang mesti juga radikal,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan warga MoF di sini hari ini.

Belanjawan 2023 akan dibentangkan semula oleh Anwar di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Selain itu, Perdana Menteri mahu Belanjawan 2023 memberi mesej jelas bahawa ia mengambil kira kedudukan ekonomi mencabar ketika ini, pada masa sama memacu pertumbuhan, menyakinkan pelabur dan memberi rahmah kepada rakyat.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai cabaran rumit untuk menyakinkan golongan kaya untuk melabur di negara ini, seterusnya akan memanfaatkan golongan miskin.

“Kita sedang sibuk dalam menyediakan rangka belanjawan baharu dan tiap hari arahan saya tambah kepada Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican dan pasukan.

“Fokus kita (MoF) bukan soal kaum atau daerah, tapi rakyat terbanyak. Kita hidup dengan angka, data dan statistik tapi jangan terpukau dan beri keselesaan. Umpamanya statistik miskin tegar dulu 30 peratus, sekarang 5 peratus. Memang kejayaan besar tapi kalau kita masuk dalam kategori miskin tegar itu, tentu tidak menyenangkan.

“Kita mesti cari jalan sedaya upaya untuk memberikan sedikit keselesaan kepada mereka. Saya tidak boleh tidur nyenyak kalau orang merasakan tersisih, terbiar dan tidak dipeduli oleh pemimpin negara,” katanya.

Loading...
Terkini