comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Belanjawan 2023 menekankan intipati “Malaysia Madani”

 

Oleh Kumaran Rajamoney

BUKIT MERTAJAM: Belanjawan 2023 yang dijadual untuk dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari depan akan menekankan intipati “Malaysia Madani” dengan menyentuh sektor pendigitalan dan kemampanan ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu dilihat dalam landasan yang baik menerusi minat yang ditunjukkan pelabur dari negara luar seperti Amerika Syarikat, China dan Australia.

“Sekarang ini Ringgit juga semakin mengukuh. Ia baik kerana akan menyebabkan kos import menjadi lebih rendah. Kos import yang tinggi akan memberikan kesan kepada peningkatan harga barangan.”

“Peningkatan bagi bahan asas makanan ternakan misalnya akan memberikan kesan kepada peningkatan harga bahan mentah itu, dan sekaligus membebankan rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Kenduri Rakyat di kampung halamannya di Cheruk Tok Kun di sini malam ini.

Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata bahawa belanjawan 2023 tidak akan terikat kepada belanjawan yang telah dibentangkan kerajaan terdahulu pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, cadangan dalam belanjawan itu akan turut diambil kira dalam perangkaan belanjawan baharu ini.

Dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut menegaskan kerajaannya akan berpegang kepada konsep negara hukum dengan memastikan segala kepincangan dalam pentadbiran terdahulu disiasat dan didakwa oleh pihak bertanggungjawab.

“Wang yang dibelanjakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat tidak dilakukan secara tender terbuka. Ada yang melibatkan penganugerahan terus kepada syarikat berkaitan ahli keluarga.”

“Saya semak fail Kementerian Kewangan dan serahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Polis melakukan siasatan. Sekiranya ada pendakwaan, ianya akan dilakukan Peguam Negara. Itu bukan kerja saya, tapi jangan cabar.”

Loading...
Terkini