Oleh: Hilmi Abdul Malik
PETALING JAYA: Kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia masih dilihat rendah di negara ini apabila hanya 35 peratus yang berusia 25 dan 34 tahun berjaya memiliki rumah sendiri.
Manakala selebihnya tidak mempunyai pilihan lain sebaliknya perlu mengambil pendekatan menyewa atau hanya sekadar tinggal bersama keluarga.
Bebanan kos sara hidup yang mencabar di bandar mengakibatkan hasrat kelompok itu memiliki rumah idaman tidak kesampaian.
Misalnya, bebanan hutang pendidikan, kos perkahwinan, perbelanjaan anak-anak dan kesemua ini berlegar di fikiran mereka.
Isu gaji yang tidak setara dengan harga pasaran rumah merupakan salah satu punca yang menjadi batu penghalang kepada matlamat itu.
Realitinya, anak muda di negara ini sememangnya memerlukan suntikan bantuan untuk membeli rumah khususnya bagi mereka yang berpangkalan di bandar.
Bagi penjawat awam, Muhammad Faisal Ramli, kadar gaji yang rendah sering kali penghalang utama apabila ingin melakukan pinjaman bank.
“Saya kerja seorang, isteri tak kerja jadi nak buat pinjaman memang selalu tak lepas sebab harga rumah pun agak mahal di bandar,” katanya.
Sementara itu, bagi usahawan muda, Raisz Ramly berkata, kerajaan perlu mengawal harga perumahan di bandar meskipun ada beberapa projek perumahan mampu milik di bandar.
Langkah itu katanya bagi memastikan tangga gaji golongan mereka selari dengan harga pasaran rumah.
“Pertama sekali harus kawal harga rumah di bandar. Memang ada banyak skim-skim perumahan mampu milik tetapi mungkin golongan belia tidak diberikan pendedahan yang mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Kajian Institut Penyelidikan Khazanah turut mendapati, selain harga rumah yang tidak masuk akal, masalah utama golongan berkenaan adalah tidak mempunyai lebihan gaji.
“Mereka tak ada lebihan pendapatan, ditambah dengan pendapatan yang kecil… selepas ditolak dengan segala kos sara hidup maka memang tiada lebihan untuk mereka belanja membeli rumah dalam keadaan harga pasaran rumah itu sendiri yang agak mahal,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, MBM meletakkan hasrat yang tinggi agar Belanjawan 2025 dapat mengembalikan Projek Perumahan Transit yang pernah dicadangkan kerajaan terdahulu.
Menurutnya, inisiatif berkenaan dilihat dapat membuka ruang untuk mereka mengumpul modal sebelum memulakan proses pembiayaan rumah.
“Sebab itu kita yakin kalau wujudnya program perumahan transit yang mungkin boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun hingga dua tahun maka mereka akan lebih stabil.
“Ini merupakan langkah persediaan untuk mereka dapatkan kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.
Bagaimanapun, bukanlah langsung tiada inisiatif daripada pihak kerajaan namun usaha yang menyeluruh perlu dilaksanakan agar keperluan golongan sasar itu dapat dicapai seiring dengan keperluan semasa di bandar.
Mengambil contoh inisiatif Deposit Madani RM30,000 merupakan pendekatan yang menerima pelbagai reaksi positif selain ia membuka ruang lebih ramai golongan belia untuk memiliki rumah.
Belanjawan 2025 yang akan dibentang esok meletakkan harapan yang begitu tinggi dalam melihat kepada segala rintihan golongan berkenaan.
Sebelum ini, kerajaan juga menyatakan isu perumahan antara perkara yang menjadi tumpuan dalam pembentangan belanjawan kali ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.