comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: Dana RM50 juta pertingkat pendidikan AI

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pendidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan diperluas ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan RM50 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dana bagi tujuan itu meningkat RM30 juta berbanding pada Belanjawan 2024.

“Universiti Malaya (UM) menumpukan teknologi AI bidang perubatan bagi menangkis penyakit maut seperti kanser, manakala Universiti Putra Malaysia akan menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber serba rumit.

“Universiti Sains Malaysia (USM) menelusuri AI semikonduktor selari dengan status Malaysia sebagai hub semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Anwar berkata, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula menerajui AI alih bahasa dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Untuk rekod, September lalu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi universiti pertama mewujudkan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) dengan menempatkan 101 pelajar tempatan.

Fakulti baharu itu berkonsepkan multidisiplin sekali gus menjadikan AI sebagai pemangkin inovasi dalam pelbagai bidang antaranya industri pembuatan, kewangan, kesihatan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim.

Kohort pertama FAI yang baharu ditubuhkan itu bakal mengikuti program Sarjana Muda AI dengan Kepujian selama tiga tahun di Kampus UTM Kuala Lumpur.

Ogos lalu, Perdana Menteri menggesa semua pihak menyokong serta memainkan peranan menjayakan aspirasi Malaysia untuk menjadi antara 20 negara teratas dalam teknologi AI.

Bagi tujuan itu, beliau mahu penyelidik, pembangun dan pembuat keputusan bekerjasama membangunkan teknologi terkait AI serta mengaplikasikannya secara bertanggungjawab dan beretika.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini