KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju kadar Geran Per Kapita (PCG) bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditingkatkan sebanyak 15 peratus.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menjadikan peruntukan keseluruhan PCG berjumlah lebih RM900 juta.
“Sejak 2002, sudah 22 tahun kadar PCG TVET tidak disemak semula. PCG adalah sumber kewangan utama sekolah dan kadar lama tidak lagi dapat menampung kos pembelajaran yang kian meningkat.
“Sekolah kurang murid di pedalaman pula bergantung kaedah PCG yang sama. Bermakna, kurang murid selama ini kurang dana.
“Kerajaan bersetuju kadar PCG bagi Pendidikan TVET ditingkatkan sebanyak 15 peratus menjadikan peruntukan keseluruhan PCG berjumlah lebih RM900 juta.
“Peruntukan khas RM10 juta disediakan sebagai Bantuan Persekolahan kepada semua 687 sekolah pedalaman,” pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, kerajaan turut bersetuju Elaun Sara Hidup bagi siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru ditingkatkan kepada RM530 sebulan berbanding RM430.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.