GUA MUSANG: Peruntukan RM10 juta bagi membina rumah di bawah program EPIC Homes yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025, semalam membantu masyarakat Orang Asli di daerah ini untuk memiliki rumah yang lebih selesa.
Projek dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu turut membekalkan elektrik dan air bersih kepada masyarakat Orang Asli dengan lebih jimat dan pantas.
Menurut Pengerusi Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Jimi Arifin, pengumuman itu adalah berita gembira buat penduduk Orang Asli di pedalaman.
Katanya, usaha ini akan membantu masyarakat Orang Asli untuk memiliki rumah yang lebih selesa kerana sehingga kini masih ramai yang mendiami rumah tradisi Orang Asli.
“Sudah pasti kami mengharapkan sebuah rumah yang lebih selesa untuk diduduki bersama ahli keluarga. Sehingga kini kami masih tinggal di rumah tradisi yang diperbuat daripada buluh dan terpaksa bersesak-sesak dengan jumlah ahli keluarga yang ramai.
“Kami penduduk Orang Asli masih ramai yang tidak mempunyai rumah sendiri dan apabila berkahwin terpaksa menumpang dengan ahli keluarga sehingga terdapat dua hingga tiga keluarga dalam sebuah rumah.
“Pengumuman ini adalah berita gembira buat kami terutama yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak mampu membina rumah sendiri. Terima kasih kepada Kerajaan MADANI dengan pengumuman belanjawan yang sangat membantu rakyat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Bagi penduduk Orang Asli, Angah Long, 79, berkata dia gembira apabila di bawah Belanjawan 2025 MADANI turut membabitkan projek pembangunan semula ladang Orang Asli seluruh negara.
Katanya, projek itu dapat meningkatkan taraf hidup Orang Asli terutama di daerah ini dan sekali gus membangunkan sosioekonomi masyarakat itu.
“Dengan pelaksanaan program ini, taraf kehidupan kami akan lebih baik terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Terima kasih kepada Kerajaan MADANI yang prihatin dengan nasib kami masyarakat Orang Asli dan membantu dalam peningkatan ekonomi dan taraf hidup,” katanya.
Semalam, media melaporkan nasib masyarakat Orang Asli terus terbela di bawah Belanjawan 2025 MADANI dengan peruntukan ditingkatkan hampir RM380 juta berbanding RM330 juta sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan diberi termasuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli melalui projek pembangunan semula ladang Orang Asli seluruh negara.
Pada Mei lalu media turut melaporkan rayuan kira-kira 300 penduduk Orang Asli membabitkan 62 keluarga di Kampung Kuala Koh, dekat Pos Lebir, di sini, memohon diberikan kediaman melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Ini kerana kebanyakan mereka masih tinggal di rumah buluh sehingga terpaksa berhimpit memandangkan ahli keluarga semakin bertambah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.