comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: Pekebun kecil perlu manfaat peruntukan diberikan – Johari Ghani

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.-Foto: NSTP.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap peruntukan bagi proses tanaman semula sawit kepada pekebun kecil dapat membantu meningkatkan hasil bagi golongan berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu juga berharap pekebun kecil dapat memanfaatkan dana bernilai RM60 juta yang diperuntukkan bagi meraih Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menyifatkan peruntukan diberikan kepada pekebun kecil sawit agak kecil, beliau bagaimanapun optimis ia dapat digunakan sebaiknya bagi membantu golongan berkenaan.

“Saya minta banyak tetapi tak semuanya dapat. Namun, ada juga penekanan diberikan kepada pekebun kecil dalam industri perladangan dan komoditi.

“Kita masih mendapat RM100 juta untuk membantu pekebun kecil supaya mereka dapat meneruskan penanaman semula (sawit).

“Walaupun tahun lalu kita dapat RM100 juta, tahun ini pun bagi lagi RM100 juta. Okeylah, ‘slowly’ kita buat untuk lima tahun akan datang.

“Saya berharap peningkatan penanaman semula ini akan memberi hasil kepada pekebun kecil sawit di negara ini,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai peruntukan skim tanaman semula sawit, Johari membayangkan pelaksanaannya akan mengekalkan kerangka sedia ada, iaitu 50 peratus berbentuk geran, manakala bakinya secara pinjaman dari Agrobank.

“Masihlah (kerangka pelaksanaan skim tanaman semula sawit) tetapi saya tengok tiada (penerangan lanjut). Jadi saya anggap ia 50:50 (50 peratus berbentuk geran dan 50 peratus secara pinjamana daripada Agrobank).

“Kalau kita dah pakai (keseluruhan peruntukan menjelang) pertengahan 2025 (atau) kalau habis cepat, nanti saya akan buat ‘special paper’ minta (bajet tambahan),” katanya.

Dalam pada itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menyeru pekebun kecil komoditi di seluruh negara supaya memanfaatkan setiap dana diperuntukkan kepada mereka.

“Saya minta mereka datanglah gunakan (peruntukan diberikan kepada golongan berkenaan). Yang ada RM100 juta (peruntukan tanaman semula sawit dalam Belanjawan 2024) pun sudah hampir habis, tetapi sekarang pun sudah hampir hujung tahun.

Mengulas Belanjawan 2025 secara keseluruhan, Johari berkata, ia dijangka menyaksikan pengurangan defisit kepada 3.8 peratus, berbanding 4.3 peratus pada 2024 dan lima peratus, tahun sebelumnya.

“Saya ingin tekankan, kita perlu mengendalikan bajet ini (secara berhemah). Kalau selagi kita dalam tahap perlu berhutang, jadi perbelanjaan perlu berhemah dan perlu meningkatkan pendapatan. Inilah yang cuba dilakukan Perdana Menteri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini