comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025 tumpu pembaharuan berterusan ke arah capai hasrat Ekonomi MADANI

Anwar hadir ke Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan. – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Belanjawan 2025 yang dijadual dibentang pada Oktober ini kekal memberi tumpuan kepada penanda aras dengan meningkatkan dan melaksanakan pembaharuan berterusan ke arah mencapai hasrat Ekonomi MADANI.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan MADANI yang ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan akan merancakkan lagi usaha untuk meningkatkan siling dan menstruktur semula ekonomi supaya Malaysia mencapai tahap ekonomi utama di Asia.

“Ini yang kita tekankan mengenai menaikkan siling (ekonomi) supaya penstrukturan ekonomi itu dalam memacu pertumbuhan, daya cipta, daya saing, pendigitalan, AI (kecerdasan buatan) yang diterokai dan reformasi dalam penjawat awam kerana ia tidak boleh kita harap cara dan kaedah lama untuk kita capai pendekatan baharu atau dasar baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Majlis Libat Urus Belanjawan 2025, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying serta pengurusan tertinggi kerajaan dan agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, menurut Anwar, selain menaikkan siling ekonomi, cabaran utama kerajaan adalah menaikkan lantai pendapatan supaya masyarakat terutama di desa, miskin bandar dan pedalaman tidak ketinggalan dalam merasai nikmat perubahan.

“Masalah yang harus menimbulkan kebimbangan, keresahan kita juga tentang keprihatinan, kebimbangan tentang kenaikan kos sara hidup yang tidak boleh diketepikan.

“Secara relatif, bahan penting di Malaysia iaitu bahan asas seperti gula, tepung, minyak petrol, diesel atau minyak masak itu ketimbang lebih jauh murah di Malaysia (berbanding negara lain) tapi itu tidak boleh menolak kenyataan bahawa kos sara hidup masih menekan sebahagian besar rakyat.

“Kita juga harus fikir kaedah baharu, melenyapkan kartel atau monopoli atau mengelak ketirisan supaya pulangan itu akan balik kepada rakyat sama ada bantuan tunai langsung seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah) ataupun bantuan khusus untuk (golongan) yang paling miskin iaitu SARA (Sumbangan Asas Rahmah) atau menumpukan yang saya berikan keutamaan bidang kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Pada masa sama, jelas Anwar, ketika ini, ruang untuk memperbaiki beberapa kelemahan masih ada meskipun kerajaan mencapai beberapa pencapaian termasuk mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A- dan BBB+ dengan tinjauan ‘stabil’.

“Selain itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) bagi suku pertama sebanyak 4.2 peratus berbanding suku keempat 2023 sebanyak tiga peratus. Pemulihan eksport barangan dengan pertumbuhan 5.2 peratus pada suku pertama 2024, berbanding pengucupan 8.1 peratus untuk 2023.

“Indeks Bursa FBM KLCI melepasi 1,600 mata dan nilai pasaran ekuiti domestik telah mencecah angka tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion. Pencapaian tertinggi dengan pelaburan langsung domestik dan asing yang diluluskan pada tahun 2023 sebanyak RM329.5 bilion iaitu 23 peratus lebih tinggi ketimbang 2022,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua pihak termasuk agensi penguatkuasaan supaya melaksanakan tindakan dengan pantas dan berkesan serta penjawat awam menjalankan tugas lebih efisyen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini