comscore
Tumpuan :
Jenayah

Beli diesel subsidi & jual kepada industri, ahli sindiket ditahan

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Sindiket yang ‘berlakon’ membeli diesel bersubsidi di stesen minyak bagi dijual di pasaran gelap membabitkan industri di sekitar negeri ini akhirnya dipatahkan, tengah malam semalam.

Sindiket berkenaan menggunakan lori tiga tan yang ditutup kanvas bagi mengaburi mata pekerja stesen minyak, sebelum diesel berkenaan disedut ke lima tangki yang disembunyikan di belakang lori bertutup berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, hasil makluman awam dan intipan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya mendedahkan taktik sindiket berkenaan.

Pemandu lori berusia 57 tahun yang dipercayai ahli sindiket berkenaan ditahan dalam serbuan yang dilakukan, selepas gagal mengemukakan dokumen sah daripada Kementerian Dalam Negeridan Kos Sara Hidup (KPDN), tengah malam semalam.

“Unit Risik Marin (URM) PPM Wilayah Dua menerima maklumat berkaitan sebuah lori tiga tan mencurigakan di sebuah stesen minyak di kawasan perusahaan Tampoi jam 12.05 tengah malam, sebelum intipan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori tiga tan yang bertutup kanvas itu mendapati terdapat lima tangki besar berisi diesel bersubsidi, disembunyikan di bahagian belakang lori itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lori itu telah mengubahsuai tangki utama mengisi diesel yang boleh diubah serta dilaraskan bagi mengisi lima tangki lain bagi mengaburi petugas stesen minyak.

“Modus operandi yang dilakukan adalah pemandu lori kononnya akan ‘berlakon’ mengisi diesel lori berkenaan sebelum mengubah laras di tangki utama bagi membolehkan diesel subsidi disedut masuk ke lima tangki yang disembunyikan di belakang lori itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi, hari ini.

Hadir sama, Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, hasil pemeriksaan setiap satu daripada lima tangki itu boleh mengisi hingga 1,000 liter diesel.

Ketika pemeriksaan dilakukan sebanyak 3,000 liter diesel bersubsidi sudah diisi dalam tangki yang disembunyikan itu.

“Pemandu lori berkenaan diserahkan kepada KPDN untuk proses tahanan reman seterusnya disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 12 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kumar berkata, menerusi siasatan awal, sindiket berkenaan menjual semula diesel bersubsidi berkenaan kepada pemilik industri di sekitar bandaraya ini bagi keuntungan atas angin.

Beliau seterusnya memberi amaran akan mempertingkatkan intipan dan pemeriksaan bagi mematahkan cubaan sindiket yang ‘kreatif’ mengubah modus operandi bagi ‘mencuri’ diesel subsidi negara.

“Tindakan sindiket ini menyebabkan kerajaan kerugian berjuta-juta berikutan ketirisan diesel bersubsidi negara. Polis Johor tidak akan berkompromi dan akan terus meningkatkan pemeriksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini