comscore
Tumpuan :
Nasional

Bella terlentang sedang meronta-ronta, tangan dan kaki terikat – Emak

Emak Bella, Noraini Salleh. FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Selepas hampir sebulan dilaporkan hilang, emak kepada Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella seolah-olah dibukakan hijab apabila ditunjukkan bayang-bayang anaknya itu sedang meminta pertolongan.

Kejadian itu diceritakan oleh kakak Bella, Norhisham, 36.

Menurut Norhisham, kejadian berlaku kelmarin ketika emaknya Noraini Salleh, 55, sedang sujud menunaikan solat Subuh.

Tambahnya, emaknya mendakwa terlihat bayangan Bella dalam keadaan terlentang sambil meronta-ronta.

“Sebelum itu, emak memberitahu dia nak solat lama ditambah pula dengan kehadiran (bulan) Rejab dengan harapan Allah memberi petunjuk mengenai Bella. Biasanya doa seorang emak tanpa hijab jadi pada hari terbabit ketika sujud, emak terlihat bayang-bayang Bella sedang meronta dengan semua anggota terikat.”

“Sebaik selesai solat, emak terdiam seketika dan fikirannya tertanya-tanya adakah bayang-bayang ditunjukkan oleh Allah itu benar-benar berlaku ke atas Bella,” katanya.

Mila Sharmila Samsusah atau Bella, 32 yang juga ibu tunggal kepada dua anak usia dua dan empat tahun yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu

Menurutnya lagi, bukan itu sahaja, malah selepas selesai solat Subuh iaitu sekitar jam 7 pagi, emaknya terlelap seketika sebelum bermimpi rumahnya diketuk seseorang.

Katanya, tidak lama kemudian, dia ternampak kelibat Bella memasuki rumah sebelum emaknya terjaga daripada tidur.

“Waktu itu, emak tidak sempat bertanyakan ke mana Bella pergi. Dalam keadaan kebingungan, emak merintih dan merayu pada Allah agar Bella selamat walau di mana jua dia berada.”

“Sejak mimpi itu, emak tidak lagi dapat tidur lena mengenangkan nasib Bella. Emak sebenarnya risau apa sedang berlaku pada Bella yang sehingga kini belum ada berita mengenainya,” katanya.

Norhisham memberitahu mereka sekeluarga masih menaruh harapan agar Bella ditemui dalam keadaan selamat.

Jelasnya lagi, dia kasihan melihat emaknya yang ketika ini dalam keadaan sedih kerana menantikan kepulangan Bella.

“Kami harap pada mereka berkenaan, dengarlah rintihan emak saya. Emak tidak mengharapkan apa-apa cuma nak Bella dipulangkan,” rayunya.

Kehilangan Bella yang juga ibu tunggal kepada dua anak usia dua dan empat tahun pada malam 14 Disember lalu menimbulkan misteri apabila belum ditemui sehingga kini.

Sejak kehilangannya, dua laporan polis sudah dibuat serta lima individu juga dipanggil polis untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Pada masa sama, teman lelakinya berusia 24 tahun juga direman dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana culik.

Rabu lalu, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat pada sidang media memaklumkan, dua lagi individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan Bella.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini