comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Belum ada keputusan mengenai calon PM – Anwar

 

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata belum ada sebarang keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10 daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setakat ini.

Beliau berkata Tuanku sebaliknya bertitah agar kesepakatan, kerjasama semua pihak diperlukan untuk membentuk kerajaan yang kukuh.

“Kita tunggu dan beri masa kepada Agong untuk buat pertimbangan, serah kepada kebijaksanaan Tuanku putuskan pelantikan Perdana Menteri, ” katanya kepada media selepas selesai mengadap Agong, di Istana Negara sebentar tadi.

Dalam pertemuan itu, kata Anwar, Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk mengambil sedikit masa lagi sebelum memutuskan ahli Dewan Rakyat yang memiliki sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Selain itu, katanya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan pandangan baginda mengenai keperluan mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang benar-benar mewakili semua kaum, agama dan wilayah.

“Baginda menzahirkan pandangan perlu ada kesepakatan, kerjasama semua pihak supaya kerajaan itu kukuh dan boleh tumpu perhatian menjaga kepentingan rakyat dan memulih ekonomi.

“Kerajaan yang ditubuhkan kelak juga harus mewakili semua pihak, kaum dan wilayah. Maknanya, inklusif dalam erti kata sebenar. Ini semangat kerajaan perpaduan, yang kebetulan turut saya sebutkan semalam.

“Kita berilah masa sedikit untuk kami dan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pertimbangan dan menggunakan kebijaksanaan Tuanku untuk memutuskan perkara muktamad,” katanya.

Terdahulu Baginda menitahkan Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadap baginda di Istana Negara, susulan tiada Ahli Dewan Rakyat yang didapati mendapat majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin dilihat keluar lebih awal dari Istana Negara sekitar jam 5.15 petang tadi, namun tidak berhenti untuk mengadakan sidang media bersama wartawan yang menunggu sejak pagi tadi.

Loading...
Terkini