comscore
Tumpuan :
Nasional

Benar pemandu warga asing kendali kenderaan tanpa lesen sah, tindakan tegas akan dikenakan

Pengarah Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan pada sidang media selepas meninjau operasi bersepadu yang dijalankan di Plaza Tol Jalan Duta, semalam.

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik yang membenarkan kenderaan mereka dikendalikan oleh pemandu warga asing tanpa lesen yang sah.

Pengarah Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan menegaskan, tindakan undang-undang juga akan turut diambil terhadap warga tempatan yang didapati menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing tanpa lesen.

Menurutnya, JPJ kini boleh mengesan pemilik kenderaan berkenaan menerusi pelbagai cara termasuk melakukan penyamaran bagi membendung aktiviti sewa kereta membabitkan warga asing tanpa lesen menerusi media sosial.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha turut turun padang melihat operasi yang dijalankan.

“Banyak dikesan kes sebegini (warga asing tanpa lesen) dan JPJ sentiasa ambil tumpuan kerana kadar kemalangan membabitkan warga asing semakin bertambah.

“Terutama kalau kita tengok motosikal roda tiga yang kutip besi buruk dengan tidak mematuhi peraturannya. Kita sentiasa membuat penguatkuasaan berterusan,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Jalan Duta, ibu negara semalam, ketika Operasi Bersepadu yang dijalankan JPJ.

Menurutnya, 1.7 juta notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang tahun lalu, manakala 742,132 saman dikeluarkan bermula Januari hingga 30 April lepas.

Katanya, daripada jumlah itu tahun lalu sebanyak 107,766 kes membabitkan warga asing, yang mana 42,087 atau 39 peratus daripadanya membabitkan kesalahan tiada lesen memandu.

“Selain itu, 23,609 (22%) kesalahan tiada/tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada insurans.” tambahnya.

JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

“Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan khususnya kepada warga asing melanggar peraturan termasuk kepada pemilik kenderaan,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini