comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Berbudi pada tanah, ibu tunggal kini usahawan pandan berjaya

Oleh: Fahiz Ariff

TANJUNG KARANG: Seorang ibu tunggal membuktikan hasil tidak pernah mengkhianati usaha apabila keringatnya selama 20 tahun berbudi pada tanah melayakkan dirinya bergelar usahawan pandan perjaya.

Lebih membanggakan, Kamariah Md Yatim, salah seorang yang berjaya membuktikan kemiskinan bukan penghalang kejayaan.

Kongsinya, pengalaman ditinggalkan suami sehelai sepinggang sehingga jatuh terduduk, menjadi asbab untuk wanita ini bangkit dan membuktikan dirinya adalah insan luar biasa.

Kini, 20 tahun berlalu, jerih perihnya kini berakhir dengan kemanisan.

“Saya ni, dulu hari-hari memikirkan kenapa orang lain boleh, saya tak boleh seperti kalau orang lain boleh hidup senang, kenapa saya sebaliknya

“Jadi, dari situlah semangat saya bermula terutamanya dalam hati ini memang nekad nak membesarkan anak-anak macam anak-anak orang lain pergi sekolah

“Bagi saya yang tiada harta ini, sekolahkan anak, itulah harta saya”, jelasnya sebaik ditemui krew Nasi Lemak Kopi O TV9, di sini, hari ini.

Kamariah juga mengakui bidang pertanian bukanlah asing bagi dirinya.

Malah, dia percaya bidang itu mempunyai potensi besar yang mampu menjana pendapatan.

“Tak perlu berdalih dengan pelbagai alasan, cuba dahulu sepenuh hati, itu pesan saya kepada anak-anak

“Dulu, awal pembabitan saya berniaga, saya tiada kenderaan tetapi saya sewa lori dengan harga RM150 sehari

“Sampailah sekarang, akhirnya saya mampu untuk membeli sebiji lori”, katanya ketika ditemui.

Rezekinya tidak putus-putus sehingga berjaya menjadi pembekal tiga kilang industri makanan berdekatan.

Oleh itu, dia berhasrat untuk memajukan lagi perniagaannya dengan memasarkan produk berasaskan pandan jenamanya sendiri.

“Kalau ikut pemikiran saya, saya nak majukan tanaman ini sehingga ada kilang memproses produk berasaskannya dengan jenama saya sendiri”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini