AMPANG JAYA: Seorang pelajar kolej hampir kehilangan nyawanya selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum terjatuh dari jejambat pada ketinggian 20 meter(m) di Jalan Ukay Perdana berhampiran pusingan U Masjid Ukay Perdana, Ampang, Selangor pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 6.30 petang.
“Penunggang berusia 21 tahun itu dalam perjalanan dari Hulu Kelang menuju ke Masjid Ukay Perdana.
“Semasa melalui selekoh pusingan U di jejambat dekat Jalan Ukay Perdana, mangsa yang tidak dapat mengawal kenderaan telah terbabas ke kiri jalan dan melanggar tembok penghadang sebelum terjatuh ke bawah jambatan tersebut namun terselamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Azam berkata, lelaki berusia 21 tahun itu disahkan mengalami kecederaan patah tulang kaki kiri, rusuk kanan dan tulang belakang.
“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Ampang dan kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959),” ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Azam berkata, orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi penyiasat Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya Insp Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-440 1093.