comscore
Tumpuan :
Nasional

Berdikari dengan menjual anak pokok cili bara

Muhammad Izwan Ismail gigih menjual anak pokok cili bara kepada golongan isi rumah yang gemar berkebun di laman rumah dan pada masa sama dapat menjimatkan belanja dapur di Pekan Slim River.

SLIM RIVER: Semangat berdikari yang ditunjukkan oleh penanam pokok cili padi bara, Muhammad Izwan Ismail seakan sama dengan sifat buah pokok itu yang berwarna merah ‘menyala’ apabila matang dan rasa yang amat pedas bila dimakan.

Muhammad Izwan, 38, berkata kira-kira tujuh tahun dia mengusahakan tanaman pokok cili berkenaan, pelbagai cabaran ditempohinya.

Ini kerana cili adalah antara kategori sayuran yang sukar ditanam kerana memerlukan penjagaan rapi terutama ketika berdepan dengan perubahan musim di samping serangan serangga perosak.

“Sebelum anak pokok cili padi bara matang, terlebih dahulu saya menyemai benih cili di dalam bekas khas dan memindahkan anak pokok ke dalam plastik hitam selepas 25 hari.”

“Cabaran hadir semasa menyemai benih dan selepas memindahkan anak pokok ke dalam plastik hitam kerana ia memerlukan penjagaan yang rapi dan baja yang mencukupi supaya tumbesaran anak pokok cili tidak terbantut,” katanya ketika ditemui dekat sini.

Anak pokok cili yang menjangkau usia kira-kira 30 hari boleh dipindahkan ke dalam pasu atau bekas yang sesuai bagi isi rumah yang gemar menanam sayuran bagi menjimatkan belanja dapur.

Kecenderungan golongan isi rumah yang kini semakin minat menanam sayuran sebagai pokok hiasan terutama sejak penularan pandemik Covid-19 memberi idea kepada Izwan menjual anak pokok berkenaan.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata setiap hari dia berulang alik dari rumah ke pekan berkenaan dengan menggunakan kereta Perodua Viva miliknya untuk menjual anak pokok cili berkenaan.

Setiap anak pokok cili dijual dengan harga RM4.00 sahaja dan pembeli yang membeli anak pokok terbabit boleh terus memindahkan anak pokok cili itu ke dalam bekas atau pasu yang lebih besar.

“Usaha saya mampu memberi pilihan kepada penggemar masakan pedas untuk menanam cili sendiri kerana selain dapat menjimatkan belanja dapur, mereka juga dapat menikmati sayuran segar yang ditanam sendiri.”

“Harga cili berkenaan kadangkala mencecah RM20 sekilogram dan sudah tentu dapat menjimat belanja dapur golongan isi rumah,” katanya.

Sayuran lain yang disemainya termasuk daun kesum, kunyit dan terung.

Menurut Izwan, dia gembira dengan apa yang dilakukannya kerana di samping beroleh pendapatan, dia juga dapat menggalakkan golongan isi rumah berkebun dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang tidak tentu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini