
ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mahu membuka lembaran baharu dalam hubungan antara Kedah dan kerajaan persekutuan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.
Beliau berharap pimpinan kerajaan perpaduan juga tidak akan menyimpan apa-apa perasaan di dalam hati terutamanya berkaitan hal politik sebelum ini.
“Permulaan baharu (hubungan Kedah dan persekutuan), saya sedia (buka) lembaran baharu, kalau mereka sedia, Alhamdulillah. Kalau mereka masih menyimpan dalam hati saya tak tahu.”
“Mana boleh simpan dalam hati hal pemerintahan kerajaan, urusan kena ikut prosedur kerajaan, hal hati mana boleh bawa, kena simpan dalam peti,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhammad Sanusi, 49, melafaz sumpah memegang jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit pada jam 10.15 pagi tadi.
Ketika ditanya adakah hubungan beliau dengan pimpinan kerajaan persekutuan bakal menjejaskanpembangunan negeri, Muhammad Sanusi menyifatkan perkara itu sepatutnya tidak boleh berlaku.
Ini kerana katanya, kerajaan persekutuan tidak boleh menghukum rakyat Kedah kerana memilih Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.
“Mana boleh macam itu, ini demokrasi. Dalam politik berpuluh tahun sudah demokrasi, tak boleh macam itu, kena faham demokrasi.”
“Jangan menghukum orang kerana itu, tak boleh, berdosa. Kita beri rakyat memilih kemudian rakyat buat pilihan lepas itu kita hukum dia, ingat dosa pahala sama,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata lantikan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (EXCO) Kedah dijangka akan diselesaikan dalam tempoh minggu ini.
Bagaimanapun, nama calon EXCO yang akan dilantik itu bakal ditentukan oleh kepimpinan parti komponen masing-masing.
“Kita akan adakan mesyuarat petang ini dan saya akan tengok nama yang dicadangkan itu sebelum memilih mereka yang mampu untuk melaksana dan menterjemahkan Pelan Pembangunan Kedah 2035.”
Tetapi, memang susah untuk memilih kerana semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ada kelayakan yang baik. Jumlah EXCO masih sama iaitu 11 orang termasuk saya dan portfolio mungkin ada penyesuaian mengikut keperluan semasa,” katanya.
Beliau turut mengakui berbanding penggal lalu, penggal kali ini memegang jawatan Menteri Besar Kedah memberi cabaran yang lebih besar buat dirinya.
“Saya jadi takut kerana harapan terlalu tinggi, takut tidak tercapai hasrat daripada rakyat tetapi saya berazam dan akan cuba sedaya upaya untuk tunaikan amanah rakyat.”
“Kita ada 32 ADUN daripada pelbagai latar belakang dan mereka juga sudah pasti punyai azam yang sama untuk memberi khidmat bakti sepenuhnya kepada rakyat Kedah,” katanya.
Artikel berkaitan: https://www.buletintv3.my/politik/video-sanusi-angkat-sumpah-mb-kedah/