
KUALA TERENGGANU: Keluarga kepada lelaki yang ditemukan mati dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang badannya dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus semalam meminta orang ramai berhenti menyebarkan gambar berhubung kejadian itu.
Muhammad Nashar Fikri, 20, yang juga anak sulung kepada mangsa, Allahyarham Mohd Latif Idris, 51, juga berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.
“Saya mohon jasa semua berhenti sebarkan video itu dan kami (keluarga) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Parit di sini, hari ini.
Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, arwah bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu sambil menyifatkan arwah seorang yang penyayang.
Katanya, menjadi kebiasaan bapanya bersama ibu, Noor Azlina Ramli, 41, dan adiknya, Eliy Syazwani, 16, keluar menghabiskan masa bersama setiap hujung minggu.
“Ayah macam biasa, tidak nampak apa-apa perubahan, cuma pada hari kejadian, arwah ada berpesan kepada adik yang dia mahu pergi jauh…tak sangka itu petanda dia akan meninggalkan kami.
“Walaupun masih terkejut dengan kejadian menimpa ayah, kami semua reda dengan ujian Allah SWT,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang badannya dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir Kuala Nerus.
Mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi ditemui di tempat duduk belakang dalam sebuah teksi dalam keadaan berlumuran darah.
Artikel berkaitan : “ …ayah dah nak pergi” – Anak kongsi kata-kata terakhir pemandu teksi mati