comscore
Tumpuan :
Nasional

Beri Bukti Jika Tanah Diceroboh

Kesan daripada tapak pelupusan sampah haram yang didakwa menyebabkan pencemaran air dan udara di beberapa kawasan di Kajang, Selangor.

Oleh Izzatie Rizan

BANGI: “Jangan suka-suka beri alasan tanah diceroboh tanpa bukti”

Itu tegas Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad kepada pemilik tanah yang mendakwa tanah mereka diceroboh di Kajang, Selangor.

Menurut beliau, pemilik perlu melaporkan kepada pihak berkuasa, bukan hanya sekadar berpeluk tubuh.

“Kewajipan pemilik tanah untuk melakukan papan tanda amaran berkenaan tindakan keras akan diambil kepada penceroboh untuk mengelakkan tanah mereka diceroboh.

“Atau mereka melakukan pemeriksaan setiap waktu tertentu dan tidak membiarkan tanah mereka tanpa dilawati untuk satu tempoh masa yang panjang,” katanya kepada TV9.

Menurut beliau, daripada tujuh aduan berhubung tapak pelupusan haram yang diterima sejak 2018 lalu, empat daripadanya telah dibersihkan pemilik tanah.

Manakala satu telah dirampas dan menjadi hak milik kerajaan negeri selaras dengan Kanun Tanah Negara berikutan menjadi lokasi pelupusan sampah berulang.

“Selaras dengan Seksyen 125 Kanun Tanah Negara kita boleh mengambil tindakan yang sangat drastik termasuklah merampas tanah-tanah mereka. Tetapi perlu diingat khasnya tanah di daerah Hulu Langat adalah tanah agak prime.

“Jadi kalau mereka sangat sayang kalau nak beli tanah pun buat masa sekarang ini memerlukan kos yang sangat tinggi.

“Saya menyeru pemilik tanah tolonglah jaga tanah masing-masing,” katanya.

Krew TV9 turut mendapatkan reaksi Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Selangor, Ng Sze Han berhubung limitasi undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
membabitkan penguatkuasaan alam sekitar.

Beliau berpendapat perlu diwujudkan enakmen atau undang-undang baru yang berkaitan dengan isu ini.

“Saya nampak kalau mahu tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan kita perlu keluarkan undang-undang atau enakmen baharu. Kerajaan Negeri Selangor telah bersedia dengan enakmen sisa pengurusan pepejal. Namun kita akan cuba sekali lagi untuk kemukakan enakmen ini kepada Kerajaan Persekutuan dan berharap cadangan enakmen yang baharu dapat dipertimbangkan,” ujarnya.

Kerajaan Negeri juga telah berkerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) baru-baru ini untuk membantu PBT mengesan lokasi sampah haram dengan lebih efisyen sebelum tindakan bersepadu dilakukan.

Minggu lalu TV9 membongkar tindakan segelintir pemilik tanah di Kajang yang didakwa menyewakan tanah mereka untuk dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

Tindakan penyewa tanah itu didakwa menyebabkan berlakunya pencemaran udara dan air di beberapa kawasan utama di Kajang, Selangor.

Loading...
Terkini