comscore
Tumpuan :
Nasional

Beri peluang anak sindrom down untuk berdikari, elak masalah kemurungan

 

Oleh Dzaifiq Khalif Darus

KUALA LUMPUR: Anak istimewa dengan masalah sindrom down perlu diberi ruang untuk berdikari agar tidak merasa murung.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sindrom Down, Hanizan Hussin, walaupun mereka memerlukan perhatian yang lebih berbanding anak lain, golongan ibu bapa dengan anak istimewa ini dinasihat tidak terlalu memanjakan sehingga mengehadkan perkembangan kemahiran kognitif dan fizikal mereka.

Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sindrom Down, Hanizan Hussin.

Hanizan yang juga ibu kepada anak sindrom down berusia 28 tahun ini turut menzahirkan harapan agar anaknya mampu berdikari dan menguruskan diri seperti anak yang lain.

“Walaupun serendah-rendah kemahiran yang mereka boleh lakukan, mereka perlu didedahkan dengan alam pekerjaan apabila mencapai umur remaja.

Jiwa mereka sama sahaja dengan orang typical (biasa), walaupun mereka tidak akan bercakap mengenai keinginan mereka, tapi daripada perwatakan sahaja, kita dah boleh tahu mereka ini perlu diberi perhatian supaya mereka tidak mencapai tahap kemurungan.”

“Ini akan berlaku sekiranya mereka dibiarkan sahaja di rumah, dibiarkan tanpa pendidikan, dibiar oleh ibu bapa dengan perasaan kasihan, akan terjadi kemurungan kepada mereka”, katanya kepada Buletin TV3 ketika ditemui di Sambutan Hari Sindrom Down Sedunia di Subang Jaya, hari ini

Sindrom down adalah penyakit genetik kromosom berlebihan melibatkan kromosom nombor 21.

Anak yang menghidap sindrom down perlu mendapatkan perkhidmatan terapi dan intervensi pendidikan seawal 3 bulan ke atas.

Proses ini penting agar mereka dapat bersaing dengan anak OKU lain, selain mempersiap diri untuk menjalani sesi persekolahan.

PPDK Sindrom Down merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang komited untuk bekerjasama dengan agensi lain memperjuang nasib anak-anak sindrom down di Malaysia melalui penyediaan peluang pembelajaran dan pengajaran, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.

Sempena Hari Sindrom Down Sedunia yang bakal disambut pada 21 Mac ini juga, PPDK menjalin kerjasama dengan Persatuan Sukarelawan Peringkat Negeri Selangor (PWSDNS) dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Istimewa Selangor (ORKIDS) untuk mengumpul dana bagi meningkatkan lagi kesedaran serta mendidik orang ramai mengenai sindrom genetik ini.

Sebarang sumbangan berbentuk wang daripada orang awam boleh dibuat terus melalui pindahan bank ke Akaun Persatuan Warga SIndrom Down Negeri Selangor; 562106698825 (Maybank).

Maklumat lanjut boleh hubungi talian 013-9155388 (En Mohd Rawi) dan 017-8899823 (Pn Syuhada).

Loading...
Terkini