comscore
Tumpuan :
Nasional

Beri perlindungan kepada pelarian Gaza, Dr M seru negara jiran

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohamad Sudin 

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru negara jiran wilayah Gaza meningkatkan usaha bagi membantu warga Palestin yang terkesan akibat pencerobohan Israel.

Beliau juga menggesa Mesir membenarkan wanita dan kanak-kanak di Gaza mendapat perlindungan di sempadan negara tersebut, ketika golongan lelaki Palestin berada di wilayah bergolak itu bagi mempertahankan tanah air mereka daripada kekejaman Israel.

“Saya terkilan kerana kebanyakan negara jiran dengan Gaza enggan menerima pelarian Gaza. Saya berpendapat ia tidak adil dan tidak berperikemanusiaan kerana ini sebagai perlindungan kepada pelarian yang melarikan diri daripada penindasan,” katanya pada sidang media Hentikan Sekatan Bantuan Kemanusiaan ke Gaza di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Dr Mahathir turut mengecam tindakan AS menggunakan kuasa veto untuk menyekat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada menghantar pasukan pengaman ke Gaza.

Selain itu, beliau mahu Israel menyerahkan konflik yang berlarutan sejak 75 tahun lalu kepada mahkamah antarabangsa untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Zulkifli mahu lintasan sempadan Rafah dibuka sepenuhnya bagi membenarkan bantuan kemanusiaan seperti makanan, minuman dan pasukan perubatan ke Gaza.

Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersatu dalam tekad untuk memastikan pasukan pengaman boleh dihantar untuk memulihkan keadaan di Gaza.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini