comscore
Tumpuan :
Nasional

Beriadah di hutan lipur ketika cuaca panas

Orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke Hutan Lipur Bukit Wang untuk berkelah dan mandi ketika cuaca panas ketika ini. FOTO: NSTP

JITRA: Pusat rekreasi untuk berkelah dan mandi manda terus menjadi tumpuan ramai orang berikutan cuaca panas atau fenomena El Nino ketika ini.

Tinjauan di Hutan Lipur Bukit Wang di sini mendapati kawasan itu dipenuhi pengunjung termasuk dari luar daerah ini untuk beriadah selain mandi walaupun keadaan air di kawasan itu cetek.

Pengunjung, Abu Bakar Mohd Noor, 57, dari Changlun berkata dia bersama tiga anaknya dan keluarga masing-masing pada mulanya tidak membuat perancangan untuk ke sini tetapi membatalkan niat awal mereka kerana hutan lipur itu amat sesuai untuk mereka sekeluarga mandi manda dan berkelah.

Pengunjung, Abu Bakar Mohd Noor datang bersama tiga anaknya dan keluarga masing-masing untuk beriadah di Hutan Lipur Bukit Wang ketika cuaca panas ketika ini. FOTO: NSTP

Begitu pun, Abu Bakar mengakui cuaca panas ketika ini menyebabkan paras air menjadi semakin cetek.

“Ada juga tempat di kawasan ini yang paras airnya dalam tetapi kini hanya pada paras buku lali. Kami datang ke sini sejak jam 10 pagi dan anak cucu saya masih mandi di sini untuk menghilangkan bahang panas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pengunjung lain, Sharifah Aminah Syed Ismail, 45, dari Perlis berkata dia bersama keluarga singgah berkelah di Hutan Lipur Bukit Wang terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke rumah saudara mereka di Alor Setar.

Katanya, cuaca panas yang melanda ketika ini menyebabkan mereka cepat berpeluh dan badan melekit.

“Disebabkan itu kami datang ke sini untuk mandi dulu serta berehat dan makan sebelum meneruskan perjalanan. Memang panas sekarang agak luar biasa sehingga rasa tidak selesa,” katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan bilangan lokaliti yang merekodkan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga meningkat kepada lima daerah di negeri ini berbanding dua hari lalu.

Antara kawasan terbabit adalah Pulau Langkawi, Kota Setar, Yan, Pendang dan Pokok Sena.

Suhu maksimum harian di daerah terbabit adalah antara 35 hingga 37 darjah Celsius dan berlaku sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Loading...
Terkini