comscore
Tumpuan :
Nasional

BERNAS kerjasama dengan KPKM, cari jalan penyelesaian isu beras

KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengulangi pendiriannya untuk memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam mencari mekanisma dan langkah intervensi terbaik dalam memastikan bekalan beras stabil dan mencukupi.

BERNAS dalam pada itu turut menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pihaknya memperhalusi sebelum membuat keputusan berkait dengan kepentingan bahan makanan itu.

“BERNAS turut memuji usaha Kerajaan MADANI yang mendengar dan mengambil kira semua pandangan daripada wakil kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan pada sesi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024, Jumaat lalu.

“Dalam membantu usaha Kerajaan untuk menawarkan harga beras putih import (BPI) yang lebih rendah, BERNAS akan meneliti keadaan harga pasaran beras antarabangsa, kos operasi dan kadar pertukaran mata wang asing.

“Walaupun trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lalu, BERNAS sudah membawa masuk dan mengedarkan BPI sebanyak 1.03 juta tan metrik pada tahunlalu iaitu peningkatan sebanyak 46 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pada masa sama, BERNAS terus komited melaksanakan obligasi sosialnya dalam mengurus stok penimbal negara dan sebagai ‘Buyer of Last Resort’ atau pembeli padi yang terakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan NACCOL meminta KPKM mengetuai dan menvelaras sesi libat urus mengenai isu padi dan beras secara lebih terperinci dan sesegera mungkin.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk beberapa wakil industri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pesawah serta pengilang bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata,kerajaan belum membuat ketetapan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini, yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini