comscore
Tumpuan :
Nasional

“Berpada-pada podcaster, kita ada undang-undang” – Fahmi

 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan belum berhasrat untuk mengenakan kawal selia terhadap kandungan yang disediakan laman web penstriman menerusi audio siar (podcast).

 

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap pencipta kandungan (podcaster) dengan undang-undang sedia ada jika melampaui batas dan menggugat ketenteraman awam.

“Seperti disebut seorang ‘podcaster’ Khairy Jamaluddin, sekiranya adab dan batas ada keterlanjuran, maka sekiranya pihak kerajaan menilai dan meneliti ada keperluan, kita akan ambil tindakan.

“Jadi saya minta para ‘podcaster’ supaya mengenakan kawalan kendiri dan berpada-padalah, kita ada undang-undang dan kita ada adab dan budaya.

“Pada masa sama, kita berhak untuk bersuara dan itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tapi ada batasnya,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan mufti dan kritikan netizen susulan perkongsian gambar pengasas sebuah laman web penstriman bersama lelaki dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ yang didakwa terbabit aktiviti persundalan di media sosial.

Terdahulu, netizen mengkritik dan mempersoalkan tindakan laman web penstriman berkenaan kerana menjemput ‘Hot Daddy’ yang disifatkan seolah-olah menyokong dan mempromosikan apa yang dilakukan individu itu.

Sebelum ini media melaporkan, lelaki dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ bersama dua teman wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, kerana membuat pengiklanan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.

Lelaki terbabit, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32 dan dua teman wanitanya Norhidayah Mahadi, 24, serta Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK kerana mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dilaporkan berkata, laman web penstriman itu tidak sewajarnya mengutamakan ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, pula menyifatkan langkah menjemput ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu podcast umpama mempromosi serta menormalisasikan persundalan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada menerima laporan mengenai aduan perkara berkenaan.

Jelasnya, dapatan awal mendapati video ‘podcast’ itu tidak dapat dikesan sama ada ia tidak dimuat naik atau telah diturunkan oleh platform laman web penstriman atau pemilik video terbabit.

“Saya telah minta pejabat saya meneliti dan memang tidak menemui video yang dimaksudkan dalam akaun media sosial yang dimaksudkan itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini