comscore
Tumpuan :
Nasional

Berpuluh tahun tinggal percuma, penyewa PPR berdepan tunggakan RM1 juta

Seh Yong (kiri) menunjukkan jumlah keseluruhan tunggakkan sewa rumah PPR Lobak yang mencecah kira-kira RM1 juta. FOTO: NSTP

SEREMBAN: Tunggakan sewa mencecah lebih RM30,000, begitulah harga yang terpaksa dibayar penyewa kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lobak, di sini, selepas lebih dua dekad tinggal secara percuma.

Situasi itu dikongsi penyewa 131 unit di PPR berkenaan yang mana tunggakan keseluruhan kini mencecah kira-kira RM1 juta gara-gara penyewa culas membayar sewa bulanan sebanyak RM150 sejak lebih 20 tahun lalu.

Lebih membimbangkan, sebahagian penyewa mempunyai tunggakan bil air menyebabkan pihak berkuasa memotong bekalan utiliti itu, namun ia tidak menghalang individu licik membuat sambungan haram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Chew Seh Yong, berkata sebelum ini keadaan di PPR berkenaan sangat teruk daripada segi kebersihan, kadar jenayah, kemudahan awam dan kesedaran awam.

“Sejak lima tahun lalu kami perlahan-lahan masuk ke PPR ini dan melakukan perubahan dengan peruntukan hampir RM1 juta daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan individu persendirian.

“Kami mengecat semula bangunan, membaik pulih rumah sampah, menurap jalan, menukar pagar dan mengindahkan suasana. Selain itu kami membuka peluang pekerjaan dan menjalankan sesi kesedaran,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini juga orang luar tidak berani masuk ke PPR berkenaan, malah pekerja Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) pernah dihalau ketika menjalankan tugas.

Tambahnya, kesan keadaan itu, penyewa mengabaikan bayaran sewa bulanan sejak 20 tahun lalu menyebabkan tunggakan keseluruhan kini sebanyak kira-kira RM1 juta.

“Ada penyewa yang mempunyai tunggakan lebih RM30,000 sedangkan sewa di sini hanya RM100 sebulan manakala RM50 untuk penyelenggaraan. Ini bermakna dia memang tidak membayar sewa sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah itu, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melakukan pemutihan dengan mengeluarkan perjanjian baharu kepada penyewa.

“Pihak MBS memberi amaran akan mengunci rumah kepada penyewa yang gagal melunaskan tunggakan seterusnya menamatkan kontrak.

“Bagaimanapun, kami faham dengan kesusahan yang dialami mereka. Penyewa boleh membayar tunggakan secara ansuran. Tidak kisah jumlahnya, asalkan ada kemahuan untuk bayar,” katanya.

Mengulas kejadian curi air, pihak SAINS kini sedang memasangkan penghadang jaring besi di lokasi meter bagi mengelak penyewa melakukan penyambungan haram.

Loading...
Terkini