comscore
Tumpuan :
Nasional

Bertengkar sebelum jatuh Jambatan Pulau Pinang

Lelaki dan wanita dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2.8 menghala ke Perai, di Butterworth hari ini. – FOTO: Ihsan JBPM

BUTTERWORTH: Tindakan pantas seorang lelaki terjun dari Jambatan Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang lelaki dan wanita yang terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 menghala ke Perai, malam tadi.

Kedua-dua mereka dikatakan bertengkar di jambatan itu sebelum kedua-duanya terjatuh ke laut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Shahrul Munawer Taharen, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.49 malam.

Beliau berkata, kedua-dua individu itu menaiki kereta jenis Honda Civic sebelum memberhentikan kenderaan berkenaan di jambatan.

“Difahamkan berlaku pertelingkahan membabitkan kedua-duanya sebelum mereka terjatuh ke laut.

“Terdapat seorang lelaki yang juga orang awam di lokasi, terjun menyelamatkan mangsa,” katanya dihubungi hari ini.

Shahrul Munawer berkata, mangsa kemudian dibawa menaiki bot oleh nelayan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Katanya, mereka dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diberikan rawatan awal.
“Kedua-dua mangsa berusia 30-an yang mana lelaki itu cedera di kepala dan mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.

“Kes diserah kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.35 malam,” katanya.

Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 17 saat yang memaparkan pasangan itu terapung di air.

Pertengkaran dipercayai membabitkan masalah peribadi, namun tidak diketahui hubungan mereka.

Difahamkan, orang awam yang terjun ke laut menyelamatkan mangsa adalah seorang anggota tentera.

Loading...
Terkini