comscore
Tumpuan :
Nasional

Bertindak segera bendung ajaran sesat – Mohd Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Jabatan agama negeri perlu bertindak segera kerana ajaran sesat semakin membimbangkan terutama yang disebarkan melalui media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata banyak ajaran sesat yang disebarkan melalui media sosial, antaranya ajaran Si Hulk dan Ahmadi yang berasal dari luar negara.

Menurutnya, pihak berkuasa lebih mudah bertindak jika penyebar ajaran sesat berada di dalam negara.

Katanya, penguat kuasa perlu mencari jalan untuk menghalang ajaran sesat berdasarkan enakmen jenayah syariah negeri masing-masing.

“Persoalannya, apabila ajaran sesat itu disebarkan melalui media sosial dan pelakunya berada di luar negara, bagaimana cara penguatkuasaan boleh dilakukan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Perundangan Syariah anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah/Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Abdul Razak Mat Nayan.

Mohd Na’im berkata, menerusi konvensyen ini Jabatan Pendakwaan Syarie Wilayah Persekutuan akan mengambil inisiatif untuk membincangkan bentuk penguatkuasaan jenayah melibatkan isu rentas sempadan ini.

Katanya, isu jenayah rentas sempadan ini turut melibatkan perkahwinan di luar negara seperti di Thailand.

Sebagai contoh, beliau berkata, individu yang tinggal di Wilayah Persekutuan dan mahu berpoligami perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari Hakim Syarie di Wilayah Persekutuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini