comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Biar mahkamah tentukan dakwaan isu tebatan banjir’

Calon BN Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertemu penduduk di Simpang Tiga Ijok.

KUALA SELANGOR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyerahkan kepada mahkamah dalam menentukan langkah sewajarnya berhubung dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkaitan rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

Beliau menjelaskan, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sudah mengambil tindakan terhadap dakwaan itu.

“Saya difahamkan Datuk Tuan Ibrahim sudah memulakan tindakan undang-undang. Saya biarkan mahkamah buat keputusan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengikut laporan disiarkan portal rasmi PAS sebelum ini, surat tuntutan berkenaan diserahkan kepada Rafizi melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid, antara lain menuntut calon Parlimen Pandan Pakatan Harapan (PH) itu mengeluarkan draf permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat dikeluarkan.

Isnin lalu, Rafizi dalam satu sidang media menuntut penjelasan daripada Timbalan Presiden PAS itu berhubung status projek kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Rafizi mendakwa, berdasarkan sumber dalaman, kementerian itu dalam proses menganugerahkan tender secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

Menyentuh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) khususnya di Parlimen Kuala Selangor, Tengku Zafrul berkata, momentum sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) amat baik.

“Saya tak mahu leka, tak mahu ambil mudah. Kita akan teruskan meyakinkan mereka apa aku janji kita, sama ada kita serius dan berkemampuan atau tak.

“Di sini, cabaran besarnya adalah penduduk kerana mereka ada isu masing-masing dan semuanya berasas serta perlu diselesaikan.

“Itu sebabnya dalam manifesto kita bangkitkan 50 perkara berkait isu yang mereka bangkitkan. Kalau mereka percaya (tawaran BN), Alhamdulillah,” katanya.

Mengenai kemungkinan disenaraikan sebagai menteri jika BN memenangi PRU15, Tengku Zafrul berkata, ia akan memberi kelebihan kepada kawasan Parlimen Kuala Selangor jika benar berlaku.

“Penduduk di sini mahu mengenali saya secara peribadi dan nak tahu sama ada saya boleh bantu selesaikan isu rakyat.

“Saya harap pengundi di sini memberi kepercayaan kepada BN pada PRU15,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini