comscore
Tumpuan :
Nasional

Biar mereka raya dulu, lepas itu baharu umum pasal tarif air – MB Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohammad cuba menggoreng kuih peneram pada Program Riang Ria Raya Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Negeri Perak 2024 di Ipoh. Foto: NSTP

IPOH: Kadar kenaikan tarif air di Perak hanya akan diumumkan selepas sambutan Aidilfitri ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kata Saarani, penetapan kadar itu sudah diperhalusi dan diluluskan di peringkat mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) hari ini namun pengumuman mengenainya hanya akan dibuat selepas Aidilfitri.

Katanya, penetapan tarikh itu adalah bagi membolehkan rakyat negeri ini menyambut dan meraikan Aidilfitri dengan ‘seronok’ dan tidak terlalu rungsing dengan kenaikan yang diunumkan.

“(Pengumuman selepas Aidilfitri) nak bagi orang ramai menyambut Hari Raya dengan seronoknya… Dia (tarif) tak ada lah beban sangat…. Tapi (pengumuman selepas Aidilfitri) adalah untuk bagi orang jangan rungsing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu Program Riang Ria Raya Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) Jabatan Pertanian Negeri Perak di padang Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah Pertanian negeri, Norsiyenti Othman.

Minggu lalu, Saarani berkata kadar kenaikan tarif air di Perak akan diumumkan minggu ini selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri memperhalusi beberapa perkara lagi biarpun keputusan mengenainya sudah ditetapkan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak (LAP).

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata empat lokasi pelaksanaan projek baharu bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di tiga daerah negeri ini yang membabitkan kos RM640 juta dianggap sebagai suatu keperluan yang mendesak.

Atas sebab itu, ia diletakkan sebagai projek Rolling Plan ke-5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan telah mendapat komitmen daripada kerajaan persekutuan.

Ia adalah pelaksanaan RTB Sungai Kinta Fasa Tiga yang memerlukan peruntukan mencecah RM300 juta; RTB Sungai Sama Gagah di daerah Kerian bernilai RM250 juta; serta dua lagi lokasi di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) iaitu RTB Pekan Kuala Sepetang yang menelan belanja RM55 juta; dan RTB Sungai Trong bernilai RM35 juta.

Semalam, Saarani dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan negeri Perak memerlukan bantuan dana daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM640 juta bagi menyelesaikan masalah banjir di empat lokasi membabitkan tiga daerah di negeri ini.

Loading...
Terkini