comscore
Tumpuan :
Nasional

Biografi Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah. – FOTO: Royal Press Office

PERMAISURI JOHOR Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah diputerakan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak.

Baginda merupakan puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Dato’ Sri Ariff Shah.

Raja Zarith Sofiah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datin Khadijah, Kuala Kangsar dan kemudiannya menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom, juga di Kuala Kangsar, Perak.

Pada bulan September 1972, Baginda menyambung pelajaran di Cheltenham Ladies’ College di England.

Pada tahun 1979, Baginda telah menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Somerville College, University of Oxford, sebelum dikurniakan Ijazah ‘Bachelor of Arts in Chinese Studies’ pada tahun 1983.

Permaisuri Johor mewarisi minat dan bakat seni ayahanda Baginda terutamanya dalam seni lukis.

Baginda pernah menyertai beberapa pameran seni seperti pameran Galeri Seni Yayasan Warisan Johor (2003) dan pameran seni anjuran Maybank Kuala Lumpur yang memberi penghormatan kepada tiga generasi seniman Johor (2004).

Baginda Tuanku Permaisuri juga merupakan seorang penulis yang prolifik dan pernah mempunyai ruang akhbar khusus iaitu ‘On Common Ground’ untuk New Straits Times dan ‘Mind Matters’ untuk The Star.

Sebelum itu, Baginda juga pernah menulis 4 buah buku kanak-kanak pada tahun 1995.

Raja Zarith Sofiah mendirikan rumah tangga bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, pada tahun 1982 semasa Tuanku Sultan masih bergelar Tunku Mahkota Johor.

Pasangan DiRaja ini telah dikurniakan 6 cahaya mata: 5 orang putera dan seorang puteri.

Raja Zarith Sofiah dikurniakan gelaran Permaisuri Johor sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim pada 23 Mac 2015.

Selaku Permaisuri, Baginda banyak terlibat dalam organisasi amal dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (atau NGO).

Tuanku Permaisuri merupakan Penasihat DiRaja kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Pengerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Sebagai seorang Permaisuri yang berpendidikan tinggi, Baginda juga menunjukkan minat tinggi terhadap bidang akademia dan merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia(UTM).

Baginda juga amat prihatin terhadap aspek kebajikan rakyat Johor, khasnya mereka di dalam golongan B40, dan telah mengilhamkan pelancaran program Bangsa Johor Bahagia pada 17 Mac 2019.

Sebagai Canselor UTM, Baginda juga melancarkan program “Because We Care” Chancellor’s Fund pada 17 Mac 2016, dalam menjaga kebajikan para pelajar golongan B40 di UTM.

Baginda turut berkenan bekerjasama erat dengan pihak Johor Corporation dalam usaha badan korporat tersebut menaiktaraf kemudahan di Wad Hematologi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi kegunaan penjaga atau waris pesakit agar kebajikan mereka terpelihara.

Raja Zarith Sofiah juga melancarkan kempen “TinDak” di bawah kelolaan Johor Women’s League (JEWEL) pada bulan Mei 2017.

Kempen ini berfokus ke arah perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan serta gangguan seksual.

Komitmen dan usaha Baginda yang berterusan dan pelbagai ke arah menambah baik taraf hidup masyarakat telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Baginda dianugerahkan ijazah kehormat daripada University of Nottingham pada tahun 2017.

Raja Zarith juga sering dijemput sebagai pengucaptama di persidangan akademik di dalam dan luar negara.

Terbaharu, Baginda menyampaikan ucaptama di Persidangan Meja Bulat OCIS-UTM bertemakan “Imagining the Future: Climate Change, Health and Food Security in Muslim Societies” anjuran UTM dan Oxford Centre of Islamic Studies (OCIS) pada Mei 2023.

Sumber: Royal Press Office

Loading...
Terkini