Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar satu pemukiman parti itu dapat diadakan bagi merangka pelan strategik parti bagi tempoh 50 tahun akan datang.
Cadangan itu disuarakannya ketika berucap pada Majlis Sambutan 50 tahun Barisan Nasional di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Tambahnya, menerusi pelan strategik itu, BN akan kekal relevan serta tidak lapuk ditelan zaman.
“Saya mahu kita merangka satu pelan yang lebih strategik, relevan dan tidak lapuk dek zaman. Kita tidak boleh hanya mengharapkan kejayaan segera tanpa perancangan yang teliti.
“Oleh itu, saya ingin mencadangkan untuk kita adakan satu pemukiman parti. Kita akan panggil 5 orang wakil dari setiap negeri dan parti duduk bersama di satu tempat, berfikir secara kolektif, mencari idea-idea baharu dan inovatif untuk membawa parti ini ke hadapan,”jelasnya.
Tegas Ahmad Zahid, BN sentiasa terbuka dalam ruang diskusi demi memastikan parti milik rakyat itu terus relevan.
“Kita buka ruang untuk berdiskusi secara terbuka, memikirkan langkah-langkah strategik, dan merancang masa depan parti sekaligus melahirkan resolusi yang disusuli tindakan untuk dilaksanakan.
“BN bukanlah milik saya seorang. BN adalah milik kita semua dan menjadi tanggungjawab kita untuk
memastikan parti ini terus relevan dan diterima oleh rakyat.
“Saya mahu kita melihat 50 tahun ke hadapan. Bukan sekadar berpolitik dengan retorik semata-mata, sebaliknya membangunkan kekuatan yang sebenar dan memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap BN,” jelasnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.