Tumpuan :
Nasional

BN lancar skuad misi bantuan banjir, hantar 1,000 pek bantuan barangan keperluan ke negeri dilanda banjir

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan skuad misi bantuan banjir BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan skuad misi bantuan banjir ke beberapa negeri di pantai timur dan utara tanah air bagi menyalurkan sumbangan kepada rakyat yang terkesan dengan bencana itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, misi bantuan banjir itu merangkumi lebih 400 sukarelawan daripada Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO serta UMNO Siswa.

“Saya mengucapkan terima sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara saya ucapkan terima kepada Barisan Nasional memberikan keprihatinan bagi menyantuni mangsa-mangsa banjir.

“Ramai orang tolong sebelum dan ketika banjir, tetapi tidak ramai orang tolong selepas banjir, maka keprihatinan pertolongan BN selepas banjir memperlihat keprihatinan BN merupakan parti politik yang tidak bermusim,” katanya.

Meskipun keadaan semakin pulih di negeri-negeri yang dilanda banjir sejak awal Disember lalu namun ujarnya, persiapan gelombang kedua perlu ditingkatkan.

“Sebelum banjir, selepas banjir, sebelum pilihanraya, selepas pilihanraya kita tetap menyantuni rakyat keseluruhan.

“Walaupun banjir telah menyusut dan pusat pemindahan sementara (PPS) tinggal 10,000 orang berbanding 1 Disember lalu lebih 153,000 mangsa dipindahkan tapi ia telah menurun.

“Tetapi mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, esok hingga 14 (Januari) mungkin akan berlaku gelombang kedua dan ini kita tidak ambil mudah. Di Sabah dan Sarawak akan berlaku (hujan lebat) mulai hujung bulan ini hingga Mac 2025. Saya harap perkara ini diselesaikan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan skuad misi bantuan banjir BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO yang juga Bendahari Agung BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini