comscore
Tumpuan :
Nasional

BN miliki kelebihan bentuk Kerajaan Persekutuan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Teka-teki pembentukan Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat hampir memberi kelebihan selesa kepada Barisan Nasional (BN), biarpun gabungan itu hanya berjaya menawan antara 65 hingga 70 kerusi di Semenanjung.

Percaturan itu dilihat hampir mampu direalisasikan berpandukan beberapa faktor pemangkin, didorong sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dikatakan lebih memihak kepada BN berbanding gabungan parti politik lain di Semenanjung.

Malah, terdapat kemungkinan wakil rakyat, sama ada di blok Bebas atau berparti yang memberi sokongan atas kapasiti individu kepada BN, tanpa keluar daripada parti diwakili mereka, turut memberi kelebihan kepada gabungan berkenaan.

Pakar geostrategi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata tawaran BN melantik tiga Timbalan Perdana Menteri, termasuk dari Sabah dan Sarawak, dilihat jelas memberi kelebihan kepada gabungan itu untuk menjalin kerjasama dengan GPS dan GRS.

Beliau berkata, kemungkinan itu antara lain didorong sentimen kerjasama antara entiti berkenaan, sepanjang sebelum PRU14 serta ketika BN menerajui kerajaan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat, sebelum ini.

Selain itu, katanya, sentimen Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon, masing-masing empat di Sarawak dan satu di Sabah turut menjejaskan peluang gabungan itu bekerjasama dengan GPS mahupun GRS, yang dilihat lebih selesa memiliki autonomi di negeri masing-masing.

“Sentimen PN meletakkan calon untuk bertanding atas tiket gabungan itu di Sarawak dilihat memberi impak sensitif kepada GPS, yang dikatakan tidak gemar terhadap pengembangan pengaruh parti politik Semenanjung di negeri berkenaan.

“Hasil pemerhatian mendapati, GPS berpeluang menawan antara 28 hingga 30 kerusi ditandingi mereka di Sarawak, sekali gus menjadikan gabungan ini sebagai ‘king maker’ bagi menentukan keputusan pembentukan Kerajaan Persekutuan pasca PRU15.

“Saya lihat peluang GPS bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) pula agak mustahil berikutan beberapa isu berbangkit, namun tidak menolak kemungkinan tipis untuk pembentukan kerjasama kedua-dua gabungan ini,” katanya kepada BH.

Mengenai kesediaan PAS bergabung dengan BN pasca PRU15, Azmi berkata, ia memberi kelebihan yang jelas kepada BN untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, biarpun PH berjaya menawan lebih banyak kerusi di Semenanjung pada pertandingan menawan Putrajaya, Sabtu ini.

“Analogi GPS selesa bekerjasama dengan BN juga terpakai ke atas kesediaan PAS menyokong gabungan berkenaan bagi membentuk Kerajaan Persekutuan pasca PRU15.

“Kemungkinan sama ada PAS akan meninggalkan PN demi menjalin kerjasama dengan BN bagi tujuan demikian bukanlah suatu yang menghairankan, tetapi ia juga perlu disandarkan kepada bilangan kerusi dimenangi BN pada PRU15 nanti,” katanya.

BH semalam melaporkan, angka magis 112 kini menjadi buruan parti politik yang bertanding, khususnya tiga gabungan terbesar iaitu BN, PN dan PH bagi membentuk Kerajaan Persekutuan sejurus selesai PRU15 yang hanya berbaki tiga hari lagi.

Memasuki pecutan akhir, ketiga-tiga gabungan itu secara terbuka menyatakan keyakinan mampu meraih majoriti mudah, biarpun firma penyelidikan bebas dan penganalisis politik berpendapat, tiada petunjuk parti yang boleh mendominasi atau mendahului berdasarkan kempen sejak Sabtu minggu lalu.

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, mempersoalkan kejujuran pembangkang, minggu lalu, antara lain menjadi signal jelas sokongan gabungan itu lebih memihak kepada BN.

Malah, katanya, siri kenyataan GPS sebelum ini juga seolah-olah memberi gambaran jelas gabungan itu tidak bersedia untuk menjalin kerjasama dengan PN, sekali gus menyokong kemungkinan BN sebagai pihak yang dilihat mampu membentuk Kerajaan Persekutuan pasca PRU15.

“Berdasarkan pemerhatian di lapangan, diakui PH mendahului dari aspek kemungkinan menawan lebih banyak kerusi di Semenanjung, berbanding BN dan PN. Namun, kita tak boleh ketepikan aspek sokongan GPS dan GRS yang akan memberi kelebihan kepada BN.

“Selain itu, kita perlu melihat kepada trend pengundian nanti, yang mungkin akan memberikan gambaran lebih jelas, sama ada BN mempunyai peluang lebih luas untuk menawan Putrajaya atau sebaliknya,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf, Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, pula tidak menolak kemungkinan wakil rakyat Bebas atau berparti menyokong BN atas kapasiti peribadi, bagi membolehkan gabungan itu membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Kemungkinan ini boleh berlaku kerana terdapat lompang dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti, yang tidak mencakupi keadaan sedemikian.

“Ini didorong faktor Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang sebelum memohon untuk menganggotai BN, selain beberapa wakil rakyat Bebas yang dilihat cenderung memberi sokongan kepada gabungan berkenaan,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini