comscore
Tumpuan :
Nasional

BN Pahang tamak, tuntut jawatan MB, 7 kerusi Exco

Datuk Seri Saifuddin Abdullah. – FOTO: NSTP

Kuantan: Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan berunding untuk membentuk Kerajaan Pahang bersama Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rundingan itu bukan dengan Pakatan Harapan (PH) yang membawa agenda yang bertentangan dengan kepentingan rakyat.

“Tetapi BN pula menuntut jawatan Menteri Besar dan mahukan tujuh kerusi Exco dan hanya setuju berikan PN satu kerusi Exco saja walaupun mereka parti minoriti yang tiada mandat.

“Sifat tamak dan mahu mengenepikan mandat rakyat ini adalah sifat sebenar Umno-BN yang rakyat perlu sedar.

“Saya tidak tahu apa gula-gula ‘pelincir’ yang PH setuju tawarkan kepada BN. Saya harap tidak ada perkara menyeleweng yang ditawarkan demi kuasa dan jawatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Saifuddin berkata, parti yang menerima mandat terbesar daripada rakyat Pahang ialah PN.

“Itulah kehendak rakyat yang perlu dihormati,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), PN Pahang memenangi 17 kerusi daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, manakala BN memperoleh 16 kerusi dan PH, lapan kerusi.

Berikutan keputusan itu, tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini