comscore
Tumpuan :
Nasional

BN, PH sebaris di blok kerajaan

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat Penggal Pertama Parlimen Ke-15 yang membuka tirainya hari ini menyaksikan perubahan tempat duduk dalam kalangan Ahli Parlimen khususnya selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perubahan kedudukan Ahli Parlimen itu menyaksikan blok parti utama seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sebelum ini berseteru kini buat pertama kali berada sebaris dalam satu blok.

Perubahan ketara dapat dilihat apabila kerusi yang dikhususkan untuk Ketua Majlis kini diduduki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di sebelahnya.

Di sebelah Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pula adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) diikuti Anthony Loke (PH-Seremban) yang juga Menteri Pengangkutan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Sabri (BN-Bera) diapit Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) pula duduk di sebelah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar).

Blok pembangkang pula diduduki Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan PAS dengan kerusi Ketua Pembangkang diisi Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) .

Diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), Tan Sri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).

Turut berada di blok pembangkang adalah bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang duduk bersebelahan dengan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).

PRU-15 menyaksikan tiada mana-mana parti memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan sebelum PH bersama dengan BN, GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) bekerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Loading...
Terkini