
KUANTAN: Sri Pahang menjadi pasukan ketujuh melepasi halangan Pusingan 16 Piala Malaysia apabila menyingkirkan Harini Selangor FT.
Skuad bimbingan Fandi Ahmad itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas barisan dari Liga M3 dalam aksi timbal balik sekaligus merakam agregat 5-2.
Berbekal kemenangan 3-1 dalam aksi pertama di tempat lawan, penyerang import Kpah Sherman muncul pemusnah impian pelawat.

Jaringannya yang dilakukan pada setiap babak iaitu minit ke-43 dan 51 memadam cubaan anak buah P. Maniam membuat kebangkitan di Stadium Darul Makmur.
Tuan rumah ceria meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir menempah pertembungan dengan Kuala Lumpur City dijadual 15 September nanti.
Kempen Harini Selangor FT pula beralih ke saingan Piala Cabaran selepas ini.