Oleh: Tuan Daniya Meringing
PATTANI: Seorang lelaki warga Malaysia antara tujuh mangsa yang cedera susulan letupan bom motosikal berdekatan balai polis Muang Pattani, selatan Thailand.
Ketua Polis Muang Pattani, Kol. Pol. Jeffery Sulaiman berkata, kejadian berlaku pada jam 8 pagi tadi, selepas berakhir perbarisan di hadapan balai polis terbabit.
“Enam orang sukarelawan pertahanan termasuk seorang lelaki warga Malaysia berusia 20 tahun cedera. Ada di antara mereka terkena serpihan,” katanya.
Seorang lelaki warga Malaysia antara tujuh mangsa yang cedera susulan letupan bom motosikal berdekatan balai polis Muang Pattani, selatan Thailand. pic.twitter.com/HmOO8U2Tmx
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 13, 2025
Jelas beliau, ketika kejadian mangsa rakyat Malaysia itu berada dalam keretanya yang letak berdekatan dengan motosikal yang dipasang dengan bom.
“Mangsa menunggu bakal isteri warga Thailand yang sedang membuat laporan polis setelah pasport hilang,” katanya.
Tambah beliau lagi, mangsa datang ke Pattani pada Sabtu untuk bertemu keluarga bakal isterinya bagi urusan pernikahan.
Kesemua mangsa dirawat di Hospital Pattani.
Setakat ini belum ada mana-mana pihak mengaku mendalangi kejadian tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.