comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba Kelantan terima 23 kes pokok tumbang

Sebahagian peserta mewakili 44 pasukan yang mengambil bahagian pengetahuan serta ilmu asas dalam penyelamatan pada program Pemantapan Kawad Kecekapan Pasukan Emergency Response Team ( ERT ) Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di Padang RTC, Tunjong, di sini. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan sebanyak 23 kes pokok tumbang di negeri itu dalam tempoh lima hari sehingga semalam.

Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin berkata, Kota Bharu mencatatkan kes terbanyak iaitu sembilan kes diikuti Pasir Mas (4) dan Pasir Puteh serta Tumpat masing-masing merekodkan tiga kes.

“Kebelakangan ini memang kerap berlaku ribut dan hujan lebat terutamanya pada sebelah petang hampir di semua daerah di negeri ini.

“Walaupun kejadiannya sekejap tapi kita sudah boleh jangka impaknya yang menyebabkan banyak kejadian pokok tumbang yang menimpa premis dan tak kurang juga menyebabkan berlaku kemalangan jalan raya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zainal berkata, tidak hanya bomba, masyarakat juga menghubungi agensi penyelamat lain sepanjang lima hari kejadian ribut lalu.Menurutnya, pihaknya sentiasa membuat pemantauan di kawasan yang berisiko terutama lokasi yang mempunyai pokok besar dan sudah ‘berusia’ kerana dibimbangi mudah tumbang jika berlaku ribut.

“Kita akan menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko agar segera keluar dari kediaman mereka sebaik sahaja berlaku ribut kerana pokok besar lebih-lebih lagi yang sudah tua sangat mudah untuk tumbang.

“Kita juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) jika mengesan terdapat pokok yang berisiko untuk tumbang di tepi-tepi jalan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu beliau hadir di program Pemantapan Kawad Kecekapan Pasukan Emergency Response Team ( ERT ) Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di Padang RTC, Tunjong di sini.

Zainal berkata, seramai 440 peserta mewakili 44 pasukan terbabit dalam program yang mendedahkan pengetahuan serta ilmu asas dalam penyelamatan.

“Semua 44 pasukan ini mewakili agensi yang mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) yang terdiri daripada hotel, pusat membeli, belah serta premis badan pengurusan bersama (JMB).

“Mereka ini dianggap sebagai ‘first responder’ jika berlaku apa-apa kejadian di premis masing-masing dan ilmu yang diberikan sepanjang seharian program ini sangat bermanfaat,” katanya

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini