SUNGAI PETANI: Pasukan Bomba dipanggil untuk membantu memotong dua cincin yang tersangkut pada kemaluan seorang lelaki di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, bilik kawalan menerima panggilan berhubung khidmat khas itu pada jam 2.12 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya seramai enam orang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak hospital memaklumkan seorang mangsa lelaki dewasa berusia lingkungan 38 tahun mengalami masalah apabila dua cincin tersangkut pada kemaluannya.
“Tindakan yang dilakukan anggota BBP Aman Jaya adalah dengan menggunakan alat khas pemotong cincin untuk memotong sehingga selesai sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azahari berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan mangsa mengalami kecederaan lebih serius.
Beliau berkata, bagaimanapun lelaki itu mengalami luka di bahagian alat sulit dan menerima rawatan lanjut di hospital.
“Operasi tamat pada jam 3.10 petang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.