
KUCHING: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan empat lelaki dihanyutkan arus deras selepas perahu dinaiki mereka karam dalam kejadian banjir di Bintulu, semalam.
Semua mangsa adalah warga asing berusia lingkungan 40-an yang bekerja di sekitar Taman Bukit Orang, Bintulu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju, Irwin Abidin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang menyaksikan kejadian itu pada jam 1.58 tengah hari.
Beliau berkata, ketika menerima panggilan itu, salah satu pasukan bomba yang terbabit dalam misi bantuan banjir kebetulan berada di lokasi berdekatan.
“Pasukan itu diarahkan terus mengesan keempat-empat mangsa dan berjaya menyelamatkan mereka.
“Mangsa kemudian terus dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan,” katanya.
Kejadian itu sempat dirakam penduduk di Taman Bukit Orang dari bangunan tinggi.
Perahu yang dinaiki empat mangsa dipercayai terlanggar objek menyebabkannya terbalik dan dihanyutkan arus deras.
Video berdurasi 10 saat itu kemudian tular di media sosial dengan ramai yang meluahkan rasa simpati melihat kejadian mencemaskan itu.
Banjir yang melanda Bintulu itu disifatkan yang terburuk pernah melanda bandar berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.