KOTA BHARU: Seorang warga emas terpaksa dikejarkan ke klinik selepas disengat tebuan di rumahnya di Kampung Bagus, Rantau Panjang di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Shapawi Stapa berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.24 petang sebelum bergegas ke rumah mangsa yang jaraknya sejauh tujuh kilometer.
Beliau berkata anggota bomba yang tiba di rumah mangsa gagal mengambilnya kerana paras air yang dalam namun dengan bantuan penduduk kampung, lelaki berusia 60-an itu berjaya dibawa keluar menggunakan bot ke atas lori.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gual Tinggi untuk menerima rawatan. Operasi tamat sepenuhnya pada 8.35 malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shapawi juga berkata pada 5.53 petang, bomba berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang tidak sedarkan diri selepas cuba menaiki tangga di tingkat atas rumahnya di kampung sama.
Beliau berkata mangsa yang tidak berpindah telah terjatuh ketika bermain bersama empat rakannya.
“Anggota bomba yang menggunakan lori telah berjaya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gual Tinggi untuk rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 8.35 malam,” katanya. — BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.