comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba selamatkan warga emas hidap kanser di rumah dinaiki air

JOHOR BAHRU: Seorang warga emas yang menghidap kanser diselamatkan selepas kediaman keluarganya di Kampung Laut, ditenggelami air bah sehingga paras dada, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, terpaksa mengusung, Sri Wahyuni Ahmad, 55, sebelum meletakkannya ke dalam bot penyelamat berikutan air semakin tinggi.

Ketua BBP Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar, berkata anggota bomba terpaksa memujuk warga emas itu berikutan dia pada mulanya enggan berpindah ke tempat selamat kerana mendakwa kediaman berkenaan mempunyai loteng di bahagian bumbung.

Bagaimanapun katanya, beliau menasihatkan supaya warga emas dan keluarganya berpindah kerana air bah deras berikutan hujan lebat yang bertembung dengan air sungai yang pasang.

“Alhamdulillah, warga emas berkenaan akhirnya akur dan bersetuju untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

“Namun ada segelintir penduduk di kawasan terjejas banjir membabitkan Kampung Laut, Kampung Skudai Kecil dan Lampung Batu 10 Jaya Sepakat, Skudai, yang masih enggan berpindah walaupun sudah dinasihatkan, dengan alasan mahu menjaga rumah dan harta benda

“Kedegilan ini membahayakan nyawa mereka kerana malam ini air pasang besar diramalkan sehingga 2.8 meter dan jika hujan lebat berterusan, aliran banjir akan menjadi deras apatah lagi jika malam suasana gelap dan kerja menyelamat menjadi sukar dilakukan.

“Saya nasihatkan penduduk tidak mengulangi kejadian ketika banjir tahun lalu kerana kedegilan mereka berpindah menyebabkan ada mangsa terperangkap dan terpaksa memanjat sehingga ke bumbung sebelum memohon bantuan pasukan penyelamat,” katanya ketika ditemui dalam operasi memindahkan penduduk di Kampung Laut, hari ini.

Loading...
Terkini