comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba terima lebih 2,000 panggilan pokok tumbang

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,575 panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan kejadian pokok tumbang di seluruh negara dalam tempoh tujuh bulan ini sejak awal tahun sehingga 31 Julai lalu.

JBPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 441 kes, diikuti Perak sebanyak 321 kes dan Sarawak sebanyak 264 kes.

“Daripada jumlah kes tersebut, seramai lapan mangsa meninggal dunia, 27 orang mengalami pelbagai kecederaan manakala 37 orang berjaya diselamatkan,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, sebanyak 4,825 panggilan kecemasan melibatkan kejadian pokok tumbang di seluruh negara diterima sepanjang tahun lalu.

Insiden itu mengakibatkan kematian 10 mangsa, 47 orang mengalami pelbagai kecederaan manakala 77 orang mangsa berjaya diselamatkan.

Mengulas lanjut, menurut JBPM, pihaknya sentiasa cakna dan menguar-uarkan info keselamatan, memberi kesedaran dan pendidikan awam berkaitan langkah-langkah menghadapi musim panas dan hujan.

“Pada masa kini negara berhadapan dengan cuaca yang semakin tidak menentu dengan hujan lebat dan ribut melanda tanpa diduga.

“Angin kencang yang berlaku meningkatkan risiko berlakunya kejadian pokok tumbang dan dahan patah.

“Orang ramai terutama pengguna jalan raya perlu berwaspada apabila menggunakan jalan raya yang ditanam dengan pokok besar atau berusia memandangkan kebanyakan kejadian pokok tumbang melibatkan pokok yang ditanam di tepi atau bahu jalan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pemandu kenderaan perlu memberi perhatian kepada keadaan sekeliling terutama sewaktu hujan.

Sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku, jangan panik, matikan enjin kenderaan dahulu dan mohon bantuan daripada orang yang terdekat serta menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan, Monsun Barat Daya yang bermula pada 17 Mei lalu dijangka berterusan sehingga bulan ini.

Lazimnya, ketika Monsun Barat Daya, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

Keadaan tersebut menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan yang lebih rendah.

Sehubungan itu, kebanyakan tempat di rantau negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak.

Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang, ribut petir dan pembentukan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di sekitar Pantai Barat Semenanjung, Utara Sarawak dan Barat Sabah terutama pada awal pagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini