Tumpuan :
Dunia Seni

Boney M bakal ‘grooves’ di Malaysia sempena ulang tahun jubli emas

Boney M mencapai kejayaan luar biasa di era 1970-an dan awal 1980-an, menjadi salah satu kumpulan yang paling ikonik dalam muzik disko dan pop. – FOTO: Boney M Maizie Williams/ Facebook

KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik popular era 1970-an, Boney M bakal mengadakan konsert di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. pada 12 Januari tahun depan.

Konsert itu diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-50 kumpulan itu dan dipimpin oleh Maizie Williams, 73, satu-satunya anggota asal kumpulan.

Persembahan itu juga akan menjanjikan hiburan lagu-lagu popular dan malar segar seperti Daddy Cool, Sunny, Ma Baker, Rasputin, Hooray! Hooray! It’s a Holi-Holiday, dan Brown Girl In The Ring.

Boney M diasaskan pada tahun 1974 oleh produser muzik Jerman, Frank Farian, memperkenalkan lagu Baby Do You Wanna Bump di bawah nama tersebut. Setelah lagu itu mendapat sambutan, Farian mengambil empat penghibur – Williams, Marcia Barrett, Liz Mitchell, dan mendiang Bobby Farrell – untuk menjayakan persembahan pentas dan televisyen.

Kumpulan itu mencapai kejayaan luar biasa di era 1970-an dan awal 1980-an, menjadi salah satu kumpulan yang paling ikonik dalam muzik disko dan pop.

Dalam kerjaya yang menjangkau lima dekad, Boney M telah menjual lebih 100 juta album di seluruh dunia, menjadikan mereka antara kumpulan muzik terlaris pada zaman mereka. Album Nightflight to Venus (1978) yang mengandungi hit Rasputin dan Rivers of Babylon menjadi antara album paling laris dalam sejarah muzik Eropah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini