comscore
Tumpuan :
Nasional

Bot bertembung, 30 Pati warga Indonesia & Myanmar, diselamatkan 

FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA

PORT DICKSON: Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas terjatuh ke laut akibat bot dinaiki bertembung dengan aset pihak berkuasa ketika cuba melarikan diri, awal pagi tadi.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) mengesan pergerakan mencurigakan dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) menuju ke Tanjung Rhu, Sepang kira-kira jam 10 malam tadi.

“Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang membuat rondaan Op Murni/Op Tiris Fasa 2.0 diatur gerak ke lokasi dan berjaya mengesan bot suspek.

“Ketika cuba memintas, bot suspek memecut laju selain bertindak agresif sehingga berlaku pertembungan dengan aset Maritim menyebabkan bot suspek terbalik dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 30 penumpang terdiri daripada 26 lelaki dan empat wanita terjatuh ke dalam air.

“Kesemua Pati tidak memakai jaket keselamatan dan mereka diselamatkan bot ronda Maritim yang sedang beroperasi,” katanya.

Iskandar berkata, kesemua Pati dibawa ke Jeti Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan diberikan rawatan yang sewajarnya.

“Pemeriksaan mendapati 29 Pati adalah warga Indonesia dan seorang Myanmar berumur antara 21 hingga 63 tahun dan mereka gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah.

“Maritim Malaysia sentiasa memantau dan tegas dalam menyekat kemasukan Pati melalui lorong tikus di perairan negara dan percaya kegiatan didalangi ejen luar dan dalam negara sendiri,” katanya.

Bagi membanteras kegiatan itu, orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat salah laku di laut ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Loading...
Terkini