comscore
Tumpuan :
Nasional

Bot kargo bawa muatan 1 tan beras tanpa permit ditahan

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Sebuah bot kargo tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa pada pukul 3.40 petang, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, melalui maklumat risikan, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS telah berjaya memintas bot kargo tersebut yang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau itu mendapati, seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun bertindak selaku juragan bot mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan yang membawa muatan 500 kilogram beras tempatan, 500 kilogram beras siam, 48 kilogram gula pasir berpaket dan empat gelen minyak petrol anggaran 120 liter itu gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, bot kargo bersama juragan terbabit seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras Akta 522.

Katanya nilai rampasan termasuk muatan, bot terbabit dianggarkan sekitar RM55,000.

Menurut Shahrizan lagi, pihaknya juga akan menjalankan siasatan cubaan menyeludup ke negara jiran berikutan kuantiti muatan yang dibawa adalah kuantiti dagangan.

“Pelaksanaan penguatkuasaan secara konsisten ini juga dijadikan medium kesedaran dan pendidikan kepada komuniti maritim agar lebih peka dengan kesalahan yang dilakukan dan tidak berulang lagi,” katanya.

Menurut Shahrizan, APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat salah laku jenayah di sekitar perairan Tawau boleh menghubungi talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian MERS 999,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini