comscore
Tumpuan :
Nasional

Bot nelayan guna pukat ‘tarik tepi’ ditahan APMM

 

FOTO:  APMM SABAH

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari dua batu nautika dari daratan menerusi Op Khas Pagar Laut dan Op Sejahtera, petang semalam.

Bot nelayan ditahan bersama tiga lelaki yang sedang leka menjalankan aktiviti menarik pukat berhampiran kawasan daratan kira-kira 1.7 batu nautika barat daya Muara Sungai Merotai, jam 4.15 petang.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot itu mendapati tiga lelaki terdiri daripada dua pemegang pasport warga Indonesia dan seorang warga tempatan.

“Ketiga-tiga mereka berusia antara 42 hingga 63 tahun berada di atas bot berkenaan dan didapati melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat pada jarak 1.7 batu nautika dari daratan.

“Semua awak-awak, bot serta muatan hasil lautan ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua barangan termasuk bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut disitu dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM117,000.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari dua batu nautika dari daratan.

“APMM akan terus menjalankan pemantauan ke atas kes-kes yang membabitkan nelayan tempatan yang melanggar syarat sah lesen dengan mengambil kesempatan menarik pukat pada jarak yang berhampiran pantai sehingga boleh kerosakkan ekosistem laut serta mengganggu aktiviti perikanan nelayan-nelayan tradisional di kawasan pantai,” katanya.

Orang ramai turut diminta membantu pihak APMM dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini